SELANGOR FC
BERITA

Lapan Gergasi Merah Sertai Skuad B23 Ke Mongolia

Oct 19, 2021 - FAS

Skuad bawah 23 tahun negara telah melengkapkan tiga perlawanan persahabatan domestik semalam dengan kemenangan keatas dua pasukan Liga Super dan kekalahan tipis menentang juara pasukan Liga Premier 2021.

Brad Maloney, pengendali skuad bawah 23 tahun negara telah memberikan minit permainan kepada kesemua pemain termasuk lapan pemain muda Selangor FC yang tersenarai menyertai kem latihan dalam perlawanan persahabatan tersebut.

Beberapa pemain muda Selangor FC dilihat menjadi taruhan utama Brad Maloney dalam perlawanan persahabatan yang dijalanan antaranya Zikri Khalili, pemain bek kiri pasukan utama Selangor FC yang telah diberi kepercayaan penuh menjadi ketua pasukan untuk memimpin pasukan dengan cemerlang terutamanya di bahagian pertahanan.

Zikri juga berjaya menghasilkan gol sulungnya pada minit ke-28 dalam perlawanan menentang Kedah DA semalam.

Brad Maloney juga sempat memuji kebolehan Zikri Khalili yang boleh beraksi di pelbagai posisi selain memiliki kualiti ke­pimpinan di atas padang dan menyatakan beliau mampu menjadi aset penting negara pada masa hadapan berdasarkan karakteristik yang dimilikinya.

“Saya gembira melihat prestasi yang ditunjukkan oleh Zikri kerana beliau telah menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam berkomunikasi dengan rakan-rakan sepasukan sepanjang perlawanan dan menunjukkan kualiti kepemimpinan baik dalam padang,"

“Malah, kelebihannya beraksi di pelbagai posisi seperti di bek kiri, pemain tengah dan sayap menjadi aset penting untuk pasukan dan negara di masa akan datang. Buat masa ini saya memberi kepercayaan kepadanya di pertahanan tengah pasukan"

Selain itu, Azrin Afiq, bek kiri Selangor FC 2, juga merupakan antara pemain yang tersenarai sebagai pemain kesebelasan utama dalam ketiga-tiga perlawanan, selain Faiz Amer dan Saravanan Thirumurugan yang turut menjadi taruhan terbaru yang menyarung jersi skuad bawah 23 tahun negara.

Dalam perlawanan persahabatan terakhir semalam, dua lagi pemain Selangor FC, Harith Haiqal dan Mukhairi Ajmal telah dimasukan dalam separuh masa kedua perlawanan setelah diberikan lampu hijau untuk menyertai skuad B23 negara.

Football Association of Malaysia (FAM) juga telah mengeluarkan senarai akhir pemain yang terpilih menyertai skuad bawah 23 kebangsaan.  Lapan pemain Selangor FC, Mukhairi Ajmal, Sikh Izhan, Zikri Khalili, Azrin Afiq, Faiz Amer, Fahmi Daniel, Saravanan Thirumurugan dan Harith Haiqal akan membawa nama Malaysia ke Mongolia.

Skuad kendalian Brad Maloney ini akan berlepas ke Ulaanbaatar pada Rabu, 20 Oktober 2021 bagi menghadapi saingan Kumpulan J pusingan Kelayakan Piala Asia bawah 23 Tahun menentang Laos pada 25 Oktober 2021 (3.00 petang) diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober 2021 (11.00 pagi) dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober 2021 (11.00 pagi).

Selangor FC mengucapkan selamat berjuang kepada skuad bawah 23 tahun negara bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022. Semoga berjaya Harimau Muda! 

Demi Kebanggaan!