SELANGOR FC
BERITA

Mengintai Bilik Persalinan Gergasi Merah Yang Telah Diubahsuai

Oct 24, 2021 - FAS

Biarpun ramai peminat Selangor FC mungkin mengetahui kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan di padang Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (Stadium MBPJ) beberapa bulan lalu, mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa kerja pengubahsuaian juga telah dilakukan di bilik persalinan pemain yang digunakan oleh pasukan sebelum mereka sampai di padang.

Bilik persalinan adalah elemen yang penting sewaktu hari perlawanan untuk setiap pasukan bola sepak. Lebih daripada sekadar ruang untuk pemain menukar pakaian permainan mereka, ia juga tempat mereka dan ketua jurulatih mereka berkumpul buat kali terakhir untuk memberi arahan taktikal dan kata-kata semangat sebelum masuk ke padang.

Menyedari betapa pentingnya ruang kecil ini, SFC telah memutuskan untuk melakukan kerja-kerja menaik taraf di salah satu daripada dua bilik persalinan stadium sebelum musim 2021 bermula, dengan mementingkan keadaan rekaan dalaman dan suasana bilik tersebut.

Bilik persalinan di bahagian selatan Stadium MBPJ telah dijadikan sebagai bilik persalinan tetap bagi pasukan Selangor FC, dengan satu lagi pasukan tuan rumah, Petaling Jaya City FC pula bakal menggunakan ruang bilik persalinan di sebelah utara.

Perubahan yang dibuat adalah minimalis, namun cukup memberi kesan dengan mesej subliminal. Dinding baratnya dihiasi dengan imej tokoh-tokoh Red Giants yang lalu seperti Azman Adnan, Rufino Segovia dan Bambang Pamungkas. Tetapi di dinding yang bertentangan, hanya ada satu pesanan malar hijau dari pemain Gergasi Merah terulung sepanjang zaman, Allahyarham Mokhtar Dahari.

"Kami tidak takut kepada siapa pun, hanya diri kita sendiri."

Nasihat ringkas dari legenda Malaysia dan Selangor kepada semua pemain Red Giants yang membacanya hari ini bahawa kemenangan bola sepak hanya dapat dicapai dengan terlebih dahulu mengatasi ketakutan dan keraguan mereka sendiri.

Tembok utara dan selatan bagaimanapun hanya dihiasi secara minima dengan papak konkrit industri kelabu, membayangkan proses pembinaan semula semasa kelab itu di bawah pengerusi kelab, DYTM Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Logo Selangor FC juga dipaparkan di penjuru utara bilik sebagai hiasan tertinggi dan paling terang di bilik persalinan tersebut, mengingatkan setiap pemain untuk siapa mereka bermain.

Untuk menjadikan ruang ini lebih praktikal, bangku pemain telah diletakkan di sepanjang dinding, dengan meja rawatan mendominasi bahagian tengah bilik. Reka bentuk bilik persalinan ini direka sedemikian agar semua aset dapat dipindahkan, sekiranya kelab dapat menemukan 'rumah' yang kekal pada tahun-tahun yang mendatang.

Tetapi, dengan Selangor FC telah mengesahkan venue home bagi musim 2022 adalah Stadium MBPJ baru-baru ini, peminat boleh menjangkakan kerja-kerja  pengubahsuaian yang lebih penting akan dilakukan untuk terus menaik taraf padang, dengan kerjasama pihak MBPJ dan Petaling Jaya City FC.

Namun setakat ini, tidak diragukan lagi padang di Kelana Jaya ini akan menjadi kubu Gergasi Merah, di mana pihak lawan merasa gentar setiap kali bermain.

Disediakan oleh Zulhilmi Zainal