The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Gergasi Merah Dapat Tonik Baharu Sebelum Menentang Kuching City

Oct 30, 2021 - FAS

Selangor FC akan meneruskan kempen TM Piala Malaysia 2021 pada malam ini menentang pendatang baru dalam liga Malaysia, Kuching City FC (KCFC).

Apabila pasukan Liga Perdana itu tiba di Stadium MBPJ hujung minggu ini, ia akan menjadi perlawanan keempat mereka dalam sejarah Piala Malaysia, dan ia juga akan menjadi pertemuan sulung antara kedua-dua pasukan, kerana KCFC hanya memasuki piramid liga Malaysia pada tahun 2017 dan tidak lama kemudian dinaikkan pangkat ke divisyen 2 pada musim 2020.

Tetapi di sebalik status mereka sebagai pasukan divisyen dua dan kesukaran mereka untuk membuat perlawanan persahabatan baru-baru ini, pasukan Malaysia Timur ini tidak boleh dianggap mudah. Di bawah kendalian ketua jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim, mereka telah membina reputasi sebagai pasukan yang mampu mengejutkan Kumpulan B, lebih-lebih lagi selepas berjaya mengikat Perak FC 2-2 dalam perlawanan terbaru mereka.

Pemain Selangor FC perlu lebih berhati-hati dalam pertemuan pertama mereka menentang Kucing City kerana rekod statistik yang kurang memberangsangkan yang ditunjukkan oleh pasukan. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, pertemuan kompetitif pertama Selangor menentang kelab dan pasukan yang baru ditubuhkan cenderung berakhir dengan keputusan seri.

Inilah yang berlaku dalam perlawanan pertama mereka masing-masing menentang PKNP FC, Petaling Jaya City dan UiTM FC, yang semuanya berkesudahan buntu.

Oleh itu, penting bagi Gergasi Merah untuk mengelakkan badi ini, di samping keperluan untuk meraih kemenangan kedua dalam kempen Piala Malaysia musim ini demi mengukuhkan cengkaman sebagai dua pasukan terbaik kumpulan.

"Pasukan saya perlu bermain dengan serius menentang Kuching City dan tidak memandang rendah keupayaan mereka. Tetapi keyakinan pasukan dilihat teguh setelah bermain dengan baik dalam dua perlawanan persahabatan baru-baru ini, dan corak permainan yang sama perlu ditunjukkan dalam pertemuan kompetitif yang akan datang,” kata ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel.

"Malam ini, pemain-pemain saya perlu komited apabila mendapatkan bola dan tidak takut melakukan kesilapan ketika memegang penguasaan bola."

Antara pembakar semangat lain yang bakal memberikan kelebihan kepada pasukan Gergasi Merah malam ini sudah tentunya adalah beraksi di gelanggang sendiri, terutamanya dengan kembalinya penyokong ke stadium, selain kembalinya beberapa pemain dari kecederaan.

Walaupun Tim Heubach, Brendan Gan dan Halim Saari kekal tidak dapat dapat bersama pasukan dan Syahmi Safari berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan untuk hujung minggu ini, penyokong Selangor pasti gembira dengan kempulangan penyerang kebangsaan Shahrel Fikri, pemain tengah kreatif Oliver Buff selain dua pemain pertahanan Ashmawi Yakin dan Sharul Nazeem ke pangkuan pasukan.

Namun begitu, penyokong Selangor terpaksa melupakan khidmat R. Dinesh yang baru sahaja mengalami ACL semasa perlawanan persahabatan. Dalam masa yang sama, Gergasi Merah juga akan beraksi tanpa Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal, Zikri Khalili dan Sikh Izhan yang kini beraksi bersama Malaysia B-23 di Mongolia.

Selangor FC akan bertemu Kuching pada malam ini dan menyasarkan tiga mata penuh dari perlawanan ini. Selepas pertembungan pada hari Sabtu ini, Kuching City pula akan melayan kunjungan pasukan Gergasi Merah pada minggu seterusnya.

Disediakan oleh: Zulhilmi Zainal