SELANGOR FC
BERITA

Gergasi Merah Tunjangi Kejayaan Kelayakan Piala Asia B23 Malaysia

Nov 01, 2021 - FAS

Skuad bawah 23 tahun negara muncul juara kumpulan J kempen kelayakan selepas dengan tujuh mata terkumpul daripada tiga aksi menentang Laos (1-0), Mongolia (1-0) dan Thailand (0-0) yang berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia baru-baru ini. 

Menjadi juara kumpulan, skuad kendalian Brad Maloney layak secara automatik ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan yang dijadualkan akan berlangsung pada 1 hingga 19 Jun tahun depan.

Sepanjang pusingan kelayakan tersebut, Brad Maloney telah menyenaraikan empat pemain muda Selangor FC dalam kesebelasan utamanya dan mereka telah bermain penuh dalam kesemua pertemuan.

Mereka yang dimaksudkan adalah Mukhairi Ajmal, kapten skuad B23 negara yang dilihat selesa mengendali di bahagian tengah pasukan serta tiga serangkai pertahanan skuad tersebut yang berusia 19 tahun, Zikri Khalili, Harith Haiqal dan Azrin Afiq yang berjaya mempertahankan kubu skuad B23 negara dengan meraih 'clean sheet' dalam ketiga-tiga perlawanan.

Harith Haiqal, pertahanan tengah skuad B23 negara memuji rakan sepasukannya yang telah menjalankan tugas masing-masing sehingga meraih 'clean sheet' dalam kesemua perlawanan melalui persefahaman antara tiga serangkai di bahagian pertahanan telah membantu mereka beraksi dengan baik.

"Alhamdulillah, 'cleansheet' yang kami raih itu perlu diberi kredit kepada semua pemain yang bermain kerana mereka telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan telah memudahkan tugas kami di bahagian pertahanan disebabkan itu kami pertahanan nampak bagus," puji Harith Haiqal kepada rakan sepasukannya

"Selain itu, persefahaman antara saya, Zikri dan Azrin telah membantu kami beraksi dengan baik di bahagian pertahanan. Lagipun, kami lagi telah bermain bersama sejak daripada skuad bawah 19 tahun serta memahami dengan taktikal ketua jurulatih Brad Maloney dan sepanjang bersama Selangor FC juga kami kebanyakkan perlawanan beraksi bersama antara yang mendorong ke arah persefahaman tersebut," tambahnya lagi tentang persembahan yang baik bahagian pertahanan skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

Tidak lupa juga wajah baharu skuad bawah 23 tahun negara, Saravanan Thirumurugan yang berjaya mendapat penampilannya pertamanya bersama pasukan kebangsaan (B23) setelah di bawa masuk dalam aksi menentang Laos di separuh masa kedua perlawanan.

Brad Maloney amat berbangga dengan pemain-pemainnya kerana telah meraih pencapaian yang cukup hebat dalam kempen kelayakkan ini.

"Saya sangat yakin dengan barisan pemain yang tersenarai untuk kempen kelayakkan kali ini. Mereka telah beraksi dengan sangat profesional sepanjang kejohanan sehingga layak ke Piala Asia 2022 (B23) di Uzbekistan dengan pencapaian tanpa tewas dan bolos. Tiada perkataan yang saya mampu ungkapkan selain berbangga dengan mereka."

Skuad kendalian Brad Maloney ini akan pulang ke tanah air pada 2 November ini dan akan menjalani kuarantin selama tujuh hari sebaik sahaja tiba di Malaysia.

Selangor FC mengucapkan sekalung tahniah kepada skuad bawah 23 tahun negara yang berjaya mendapat slot automatik ke Piala Asia di Uzbekistan tahun depan dengan menjadi juara kumpulan J kempen kelayakkan semalam. Selamat berehat, Harimau Muda!

Demi Kebanggaan!