Nov 03, 2021 - FASTiada perasaan kemenangan luar biasa yang dapat dirasakan dalam bola sepak, terutamanya selepas mengecapi kemenangan besar ke atas lawan.
Itulah yang berlaku sewaktu perlawanan terbaru Selangor FC, apabila pemain-pemain kita mempamerkan aksi bertaraf lima bintang untuk menewaskan Kuching City FC 5-1 di laman sendiri dalam perlawanan ketiga TM Piala Malaysia Kumpulan B Sabtu lalu.
Kemenangan itu telah memberikan Red Giants tiga mata tambahan serta meletakkan pasukan kita selesa di tempat kedua dalam kumpulan dan di landasan yang tepat untuk layak ke pusingan kalah mati.
Malam ini, anak-anak buah Karsten Neitzel bakal ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin untuk perlawanan timbal balik menentang Kuching City, perlawanan yang bakal memberikan dua kelebihan kepada Selangor jika mereka menang.
Terkini, Selangor FC telah mengumpul enam mata dan berada di tempat kedua, dipisahkan dengan tiga mata di belakang pendahulu kumpulan, Terengganu FC yang bakal berdepan Perak FC malam ini di laman sendiri.
Jika Terengganu dan Selangor memperolehi kemenangan, kedua-dua pasukan ini akan memastikan tempat mereka ke peringkat suku akhir.
Walau bagaimanapun, jika Selangor menang dan Terengganu tercicir mata, jurang mata antara kedua-dua pasukan ini akan semakin rapat menjelang pertembungan perlawanan ke-5 mereka pada hari Ahad ini di Stadium MBPJ.
“Sesi pemulihan dan analisis video telah dijalankan selepas perlawanan minggu lalu untuk melihat apa yang kami boleh tambah baik, tetapi apa yang lebih penting adalah semua pemain kami sudah bersedia untuk malam ini dan mampu mengulangi prestasi yang baik tersebut."
Berdasarkan pertemuan yang lalu, pasukan tuan rumah dijangka lebih berhati-hati dengan pasukan kita serta bermain permainan yang lebih kompak dan bertahan untuk mengelak berulangnya keputusan sebelum ini. Tetapi, pengendali pasukan, Karsten Neitzel, yang kagum dengan prestasi pemainnya pada hari Sabtu lalu, mahukan pemain-pemainnya mengekalkan pelan permainan yang sama.
"Kami perlu komited dengan corak permainan yang sama dalam perlawanan ini. Komitmen yang sama, daya saing yang sama, terutamanya apabila dalam melaksanakan taktikal kami yang telah bertambah baik sejak beberapa bulan lalu. Walaupun menang, perlawanan malam ini bakal bermula dengan 0-0 sekali lagi dan kami perlu bekerja keras untuk mengutip tiga mata seterusnya."
Dengan tiadanya sebarang kecederaan baharu dari perlawanan Sabtu lalu, para pemain yang dijangka tiada dalam pasukan adalah pemain yang mengalami kecederaan jangka masa panjang, Tim Heubach, Brendan Gan, Halim Saari, Manuel Konrad dan R. Dinesh, serta Wan Zack Haikal dan Ifedayo Olusegun yang masih belum cergas sepenuhnya.
Sementara itu, pemain-pemain muda seperti Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal, Zikri Khalili dan Sikh Izhan yang telah membantu pasukan Malaysia B-23 Ahad lalu untuk layak ke peringkat akhir Piala Asia AFC B-23, masih menjalani kuarantin.
Misi Gergasi Merah di Johor Bahru pada malam ini adalah untuk mengutip tiga mata penuh demi memastikan slot ke pusingan kalah mati Piala Malaysia tahun ini. Berjuanglah, Gergasi Merahku!
Demi kebanggaan.
Disediakan oleh: Zulhilmi Zainal