SELANGOR FC
BERITA

Panggilan Skuad Kebangsaan Singapura Buat Safuwan

Nov 09, 2021 - FAS

Pemain tonggak Selangor FC, Safuwan Baharudin diberi pelepasan awal  untuk menyertai sesi latihan pasukan Singapura FA membuat persiapan saingan Piala AFF Suzuki 2021 yang bakal berlangsung pada bulan Desember ini.

Safuwan telah terbang ke negara kelahirannya malam semalam dan akan menjalani kuarantin selama tujuh hari sebelum beliau lapor diri bersama pasukan Singapura FA.

Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Eksekutif Pegawai Selangor FC sempat berkongsi berkenaan pelepasan ini.

“Safuwan merupakan pemain tonggak Selangor FC dan juga Singapura FA. Ianya agak berat untuk melepaskan beliau dalam saingan TM Piala Malaysia sedang berlangsung, namun ini tidak dapat dielakkan kerana kelab perlu mematuhi kalendar FIFA yang telah ditetapkan. Kami juga ingin memberi sokongan terhadap tanggungjawab Safuwan untuk berbakti kepada negara kelahirannya," jelas Dr Johan.

"Walaubagaimanapun, Safuwan hanya tidak dapat bersama rakan sepasukan di peringkat suku akhir sahaja. Beliau akan pulang ke kem Selangor FC untuk peringkat seterusnya bagi saingan TM Piala Malaysia 2021 jika pasukan layak menempa tempat ke pusingan seterusnya," terangnya.

Dr Johan juga sempat menyatakan bahawa pihak pengurusan serta barisan kejurulatihan yakin dengan pemain-pemain yang ada untuk membawa pasukan mara ke peringkat separuh akhir TM Piala Malaysia. 

Untuk pengetahuan, esok pasukan Gergasi Merah akan beraksi menentang The Bos Gaurus di Stadium Perak, Ipoh Perak untuk perlawanan akhir peringkat kumpulan B TM Piala Malaysia 2021 bagi menambah mata seterusnya biarpun telah layak ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung minggu hadapan.

Selangor FC mengucapkan selamat berjuang kepada Safuwan Baharudin bersama Singapura FA. 

Demi Kebanggaan!