Nov 10, 2021 - FASSelangor FC akan ke Ipoh malam ini untuk perlawanan terakhir Kumpulan B TM Piala Malaysia 2020, menentang Perak FC. Walaupun kelayakan ke peringkat kalah mati sebagai naib juara kumpulan telah diperoleh lebih awal oleh ketua jurulatih Karsten Neitzel, ia tidak bermakna perlawanan terakhir kumpulan mereka akan menjadi mudah kerana semua pertemuan ada cabarannya yang tersendiri.
Walaupun pertemuan antara kedua-dua pihak sentiasa menjadi perlawanan yang sengit, musim 2021 telah memihak kepada Red Giants setakat ini. Selangor telah menang dalam Liga Super (3-1 10 April, 3-0 21 Ogos), serta dalam pertemuan peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia sebelumnya (1-0, 26 September), dan Rabu ini mereka berpeluang untuk menjadikannya empat kemenangan daripada empat pertemuan.
Tetapi jangan sekali-kali meremehkan pasukan yang bermain dengan motivasi yang tinggi. Setelah disingkirkan daripada liga dan kejohanan Piala Malaysia musim ini, pertemuan pada hari Rabu akan menjadi perlawanan terakhir Bos Gaurus musim ini dan pastinya mereka ingin mengucapkan selamat tinggal kepada musim 2021 dengan nada positif, di hadapan penyokong sendiri.
Kelebihan bermain di tempat sendiri juga akan menjadi sesuatu yang perlu diatasi oleh Gergasi Merah, memandangkan rekod pertemuan Gergasi Merah dan pasukan tuan rumah di Ipoh tidaklah begitu baik dalam masa beberapa tahun ini.
Ada cabaran lain yang perlu diselesaikan oleh barisan kejurulatihan Karsten Neitzel adalah dari segi ketersediaan pemain. Dalam perlawanan terakhir Ahad lalu, kedua-dua bek tengah Ashmawi Yakin dan Sharul Nazeem terpaksa digantikan kerana kecederaan.
Ketiadaan pemain buat jangka masa panjang buat Gergasi Merah termasuk Brendan Gan, Halim Saari dan R. Dinesh, selain masalah kecederaan yang berlaku baru-baru ini kepada Ashmawi Yakin, Shahrul Nazeem, Oliver Buff dan Ifedayo Olusegun.
Selain itu, Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal, Zikri Khalili dan Sikh Izhan yang telah membantu skuad Malaysia B-23 layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 AFC 2022, juga sedang menjalani kuarantin selepas pulang dari Mongolia.
Sementara itu, watak penting di jentera pertahanan, Safuwan Baharudin juga telah meninggalkan pasukan untuk menyertai pasukan kebangsaan Singapura untuk dua perlawanan persahabatan yang akan diadakan mengikut kalendar FIFA.
Ini bermakna bahawa bilangan pemain utama yang terhad akan tersedia pada malam ini, tetapi ia adalah peluang untuk Karsten untuk memberikan peluang untuk pemain pelapis untuk beraksi, sebelum mereka memulakan perjalanan yang lebih sukar pada peringkat kalah mati.
Apa pun perancangan Karsten untuk hari Sabtu ini bagi pusingan kalah mati, peminat harus tahu bahawa objektif malam ini tetap sama: untuk meraih tiga mata.
“Saya akan memberikan latihan perlawanan kepada pemain yang jarang bermain baru-baru ini, atau mereka yang baru kembali daripada kecederaan.
"[Tetapi] ia adalah perlawanan yang dimainkan untuk mata dan kami akan bersedia menghadapinya dengan serius. Ia bukan perlawanan persahabatan untuk kami, ia adalah perlawanan kumpulan dan ada tiga mata untuk dimenangi. Tugas kami untuk melakukan yang terbaik setiap masa. Apa yang penting bukan siapa yang bermula dalam perlawanan, tetapi sikap pemain apabila perlawanan bermula,” jelas pengendali dari Jerman itu.
“Kami juga gembira apabila diberitahu bahawa sebilangan penyokong setia Red Giants akan menyertai kami di Ipoh. Kepada penyokong yang akan bersama-sama kami, semoga selamat dalam perjalanan dan nikmatilah perlawanan ini. Komitmen yang telah peminat kami berikan, sentiasa membuatkan kami merendah diri dan bersemangat untuk bekerja dengan lebih keras, di dalam mahupun di luar padang.”
Persembahan yang baik harus dilakukan di atas padang pada malam ini dan Selangor FC akan berusaha untuk meraih kemenangan daripada apa yang dijangkakan satu lagi pertemuan yang sengit.
Disediakan oleh: Zulhilmi Zainal