Nov 14, 2021 - FASSelangor FC bakal memulakan perlawanan TM Piala Malaysia 2021 peringkat suku akhir dengan melayan kunjungan pasukan Kuala Lumpur City FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hari ini.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, beliau mahukan kemenangan dalam perlawanan derbi pertama malam ini dan menyatakan sokongan penyokong amat diperlukan.
"Dalam dua perlawanan pusingan suku akhir ini akan ada yang menang dan kalah bermakna kami perlu fokus dalam kedua-dua perlawanan terutama untuk malam ini kerana ia adalah perlawanan di tempat sendiri. Semua orang tahu ia adalah Derby dan betapa pentingnya pertembungan ini,"
"Saya harap pemain tidak akan takut dengan sebarang kesilapan kerana mereka perlu berani untuk dapatkan peluang-peluang yang ada. Mereka juga perlukan sokongan penyokong yang berdiri di belakang mereka,"
"Saya juga mengharapkan persembahan yang agresif dan komited daripada mereka kerana kami pastinya memerlukan keputusan yang baik malam ini untuk dibawa ke perlawanan seterusnya, inilah matlamatnya."
Bagi keberadaan pemain, Selangor FC tidak dapat menurunkan penyerang prolifik Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun yang sedang dalam proses mendapatkan kecergasan seratus peratus untuk bermain.
Manakala, tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah, Halim Saari, ketua pasukan, Brendan Gan dan R. Dinesh juga masih menjalani sesi pemulihan dan dijangka akan kembali bersama pasukan selepas tamat musim ini.
Penyokong Selangor bagaimanapun boleh menarik nafas lega kerana Oliver Buff kini kembali bersama pasukan setelah pulih daripada kecederaan.
Semoga Selangor FC dapat meraih kemenangan malam ini di peringkat suku akhir pertama TM Piala Malaysia 2021. Ayuh Gergasi Merah!
Dapatkan tiket perlawanan suku akhir TM Piala Malaysia 2021, Selangor FC bertemu Kuala Lumpur City FC anda sekarang di: http://bit.ly/BuyTicketSELKLC
Demi Kebanggaan!