SELANGOR FC
BERITA

Sasaran Tahun 2022 Feichtenbeiner Adalah Untuk Mempamerkan Corak Permainan Menarik Buat Penyokong

Nov 27, 2021 - FAS

Selepas usai musim 2021, tugas yang diamanahkan untuk menerajui Selangor FC pada musim akan datang diberikan kepada individu yang sama yang telah merangkakan sendiri corak permainan kelab iaitu; Pengarah Sukan, Michael Feichtenbeiner.

Setelah Gergasi Merah menamatkan musim 2021 dengan kekalahan suku akhir kepada pihak lawan dari Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur City minggu lalu, perubahan kepada kakitangan kejurulatihan pasukan utama dilakukan dengan segera. Feichtenbeiner dilantik sebagai ketua jurulatih untuk musim hadapan, manakala ketua jurulatih tahun 2021 dan rakan senegaranya dari Jerman, Karsten Neitzel telah beralih kepada tugas sebagai penolong jurulatih.

Lebih mengujakan ialah pelantikan bekas pemain Selangor dan bekas ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil sebagai seorang lagi pembantu Michael Feichtenbeiner. Nama beliau, yang kini berusia 41 tahun itu, sering disebut-sebut sejak dua tahun lalu oleh peminat Selangor FC sebagai salah seorang calon yang wajar dibawa untuk bersama membina kelab ini.

Feichtenbeiner mengakui bahawa pasukan utama telah mempamerkan prestasi yang bukan pada tahap yang diinginkan musim ini, lalu beliau berada di posisi yang dilihat harus untuk menerima jawatan ketua jurulatih itu. 

"Pasukan utama menamatkan Liga Super di tempat kelima dan saya bersetuju bahawa ini adalah di bawah sasaran kita. Apabila pasukan gagal memenuhi jangkaan, ia adalah tanggungjawab bersama; pengarah sukan, kakitangan kejurulatihan, pemain-pemain. Namun, ianya adalah lumrah sebagai ketua jurulatih untuk memikul tanggungjawab itu.

“Bagaimanapun saya juga ada tanggungjawab untuk dipikul, dan apabila lembaga pengarah meminta saya mengambil alih jawatan ketua jurulatih musim hadapan, saya menerimanya kerana projek ‘DNA Selangor’ itu direkabentuk oleh saya.

"Walaupun bagus untuk melihat pemain muda mendapat minit permainan, tetapi hakikatnya, di mana-mana kelab bola sepak, bukan sahaja di Malaysia, kejayaan pasukan utama adalah paling penting. Musim hadapan kita tidak boleh berada di tempat kelima dan gagal untuk melepasi peringkat suku akhir sekali lagi,” jelasnya.

Kini, dengan dua bekas ketua jurulatih sebagai kakitangannya, jurulatih berusia 61 tahun itu menjelaskan peranan yang akan dimainkan oleh setiap pembantu baharunya.

"Saya gembira untuk dapatkan Nidzam sebagai penolong jurulatih kerana beliau seorang jurulatih tempatan yang berbakat dan berfikiran terbuka. Beliau juga mempunyai sejarah di kelab ini yang merupakan sesuatu yang bagus untuk dimiliki. Beliau pernah bermain untuk saya [di MPPJ FC] dan saya melihat perkembangan beliau menjadi jurulatih sendiri di Felda, dan saya sangat gembira dan yakin dengan kehadiran Nidzam dalam pasukan saya.

"Saya juga lega kerana berjaya meyakinkan Kalle (Neitzel) untuk terus kekal. Beliau masih sangat berbangga untuk terus menjadi sebahagian daripada pasukan Selangor, dan kekal berispirasi tinggi bagi membantu melakar laluan kami menuju kejayaan pada 2022.

"Bola sepak moden memerlukan latihan yang bersifat individu dan ini juga termasuk aplikasi dalam latihan teknikal dan taktikal. Saya berhasrat untuk membahagikan pasukan dalam latihan kepada serangan dan pertahanan, dan Nidzam, yang pernah bermain sebagai pemain pertahanan, akan memberi lebih fokus kepada pemain pertahanan kami. Sementara itu Kalle yang merupakan pemain tengah pada zamannya akan mengalihkan perhatiannya kepada penyerang kami khususnya, manakala masa saya akan dihabiskan untuk taktikal keseluruhannya. Pembahagian dalam latihan ini adalah sesuatu yang saya belajar semasa saya bersama Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB)," kata bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan muda Jerman itu.

Satu lagi pembaharuan yang Feichtenbeiner ingin laksanakan adalah pada tahap kecergasan pemain pasukan utama.

"Saya mahukan pasukan bermain ‘attacking football’ dan ini memerlukan pemain yang cergas. Latihan saya akan lebih fokus kepada kecergasan supaya kami lebih bersedia berbanding pihak lawan.

"Sudah tentu saya juga percaya bahawa dengan pemain yang lebih cergas,  kemungkinan untuk mengalami kecederaan juga akan kurang. Apabila anda kuat, anda akan dapat mengatasi lebih banyak cabaran," katanya sambil merujuk kepada kecederaan yang dialami oleh kebanyakan pemain pasukan utama musim ini.

Dalam tugasan kali kedua sebagai ketua jurulatih pasukan pertama, Feichtenbeiner telah menetapkan beberapa objektif untuk Gergasi Merah musim depan. Walaupun memenangi piala ada dalam senarai, bagaimana kita mencapainya juga adalah mustahak baginya.

“Anda tidak boleh memenangi trofi setiap minggu, mustahil sama sekali” jawabnya dengan terus terang. "Oleh itu, matlamat utama saya adalah untuk mempamerkan permainan yang menarik buat penyokong kami. Jika mereka teruja untuk melihat corak permainan yang baik, ia dikira sebagai kejayaan bagi saya sebagai jurulatih. Dan sebagai jurulatih, keutamaan saya adalah pada menjaringkan gol, bukannya bertahan dan menunggu untuk mengambil kesempatan daripada kesilapan untuk menang 1-0. Saya mahu menyerang dari awal, kerana kami mempunyai reputasi yang perlu dikekalkan dan hampir selalu menjadi pasukan kegemaran dalam setiap perlawanan. Kami mesti berbangga menjadi Selangor FC, dan kami mesti menyerang dan menjaringkan gol sebanyak mungkin.

"Kemudian, matlamat ini akan membawa kepada pasukan yang kuat, dengan peluang untuk memenangi setiap perlawanan yang kami lalui. Saya mahu pasukan kita tiba untuk setiap perlawanan dengan tujuan untuk menang. Saya mahu pergi selangkah demi selangkah, dan saya tahu kita hanya boleh mula bercakap tentang trofi apabila kami mula memenangi perlawanan dengan pasukan yang kuat, kerana memperoleh kejuaraan pastinya adalah matlamat terakhir."

Sebelum temubual tamat, beliau mengimbau kembali detik yang dijadikan motivasi untuk mengambil alih pimpinan Selangor FC bagi musim 2022. Feichtenbeiner menceritakan emosi yang dirasainya apabila melihat penyokong kelab terus kekal di tempat penonton walaupun telah tersingkir, selepas kekalahan suku akhir kedua Piala Malaysia minggu lalu, di Cheras.

"Ia adalah detik paling beremosi bagi saya sejak saya menyertai Selangor FC dua tahun lalu. Nasib kami sudah termeterai selepas disingkirkan tetapi ultras kami terus bernyanyi, peminat kami kekal di tempat duduk mereka untuk menunjukkan sokongan mereka kepada pasukan dan itu jenis sokongan yang kami perlukan.

"Saya tahu mereka mahu memenangi sesuatu tetapi mereka tetap menghormati usaha yang dipamerkan pasukan. Itulah yang saya maksudkan dengan mahu menghiburkan peminat; jika mereka melihat pemain memakai jersi itu dengan bangga, bekerja keras, sentiasa menyerang dan bermain dengan berani, mereka akan menerima [keputusannya]. Mereka juga akan terus menyokong kami pada musim akan datang.

"Saya mengingati pemain dan saya sendiri bahawa apabila penyokong kami menyanyi kepada pasukan, ini adalah motivasi terbaik yang kami boleh harapkan untuk musim depan. Kami mahu menggembirakan mereka, saya mahu mengalami detik seperti ini lagi musim depan, tetapi pastinya dengan keputusan yang lebih baik. Banyak yang akan dituntut daripada pemain, tetapi saat seperti ini akan memberi kekuatan kepada mereka," kata bekas ketua jurulatih Bintang Medan itu sambil tersenyum penuh harapan.

Oleh Zulhilmi Zainal