The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Rumusan Musim Selangor FC 2021

Dec 01, 2021 - FAS

Musim bola sepak tahun 2021 telah tamat secara rasmi dengan perlawanan akhir TM Piala Malaysia yang dimainkan pada hari Selasa, dan ia merupakan musim yang dipenuhi pengalaman suka duka bagi pasukan Gergasi Merah. 

Dengan berakhirnya musim ini, ia adalah masa yang sesuai untuk kita mengimbas kembali dan merenung segala pencapaian yang berjaya kita catatkan. 

Pasukan utama Selangor FC bermain dalam dua pertandingan pada tahun 2021; Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia. Kami menamatkan kempen liga ini di tempat kelima dengan jumlah 36 mata daripada 22 perlawanan (10 kemenangan, 6 seri, 6 kekalahan). Dalam piala pula, kami menamatkan peringkat kumpulan sebagai naib juara Kumpulan B (12 mata daripada 6 perlawanan), sebelum tersingkir dalam pusingan suku akhir di tangan bakal juara Kuala Lumpur City.

Secara keseluruhannya, pasukan utama bermain dalam 30 perlawanan sepanjang musim, menang dalam 14 perlawanan (46.67 peratus), seri dalam 6 perlawanan dan kalah dalam 10 perlawanan. Kami juga mencatat lima ‘clean sheets’; 4 dalam liga dan 1 dalam pertandingan piala.

Selain itu, pasukan utama menjaringkan 57 gol kompetitif pada 2021 untuk purata 1.9 gol setiap perlawanan, dan bolos 41. Kemenangan berturut-turut terpanjang kami adalah untuk empat perlawanan, manakala rekod tanpa kalah terpanjang kami adalah untuk lima pertemuan.

Anehnya, pasukan utama Gergasi Merah mempunyai rekod yang lebih baik di tempat lawan berbanding di laman sendiri pada musim ini. Kami menang 5 kali di tempat sendiri berbanding 9 kemenangan di tempat lawan, dan tertewas dalam 7 perlawanan di tempat sendiri dan 3 pertemuan di tempat lawan.

Selangor 2 pula menamatkan kempen Liga Perdana Malaysia di tempat kesembilan, tetapi tidak bermain dalam pertandingan lain kerana pembatalan Challenge Cup tahun ini. Kami mencatatkan 5 kemenangan, 9 seri dan 6 kekalahan daripada 20 perlawanan.

Secara individu pula, 33 pemain membuat sekurang-kurangnya satu penampilan dengan pasukan utama Selangor FC, dan 34 dengan pasukan ‘feeder’, dengan 13 pemain telah muncul untuk kedua-dua pasukan musim ini.

Kelab ini telah memberikan penampilan sulung kepada 10 pemain muda tahun ini daripada pasukan Selangor 2. Tiga daripada mereka juga telah menjadi pemain ‘regular’ pasukan utama; Jordan Ayimbila (24 penampilan), dan Sharul Nazeem dan Hein Htet Aung (masing-masing 19). Tambahan pula, pemain muda yang telah membuat penampilan sulung pada musim sebelumnya dan juga merupakan ahli pasukan utama tetap sekarang, seperti Aliff Haiqal (24 perlawanan tahun ini), Danial Asri (28) dan Mukhairi Ajmal (23).

Daripada 33 yang bermain untuk pasukan utama Selangor FC musim ini, lima telah mencapai sama ada penampilan ke-50 atau ke-100 musim ini. Tahun ini, penjaga gol Khairulazhan Khalid dan bekas pemain pertahanan Syahmi Safari kedua-duanya menyertai ‘century club’ Selangor FC. Dalam pada itu, Sarkunan Krishnasamy, Ifedayo Olusegun dan Namathevan Arunasalam kesemuanya telah menyarung jersi Selangor untuk perlawanan ke-50 mereka.  

Ifedayo akan meninggalkan kelab ini musim hadapan, namun beliau telah menjadi pemain yang penting untuk kami tahun ini. Daripada 28 gol jaringannya pada 2021, 26 daripadanya dijaringkan dalam liga, lantas memenangi anugerah kasut emas Liga Super dengan rekod ini. Lebih mengagumkan, ia merupakan anugerah kasut emas Liga Super kedua berturut-turut, dan jumlah 26 gol melakarkan tempat beliau dalam sejarah sebagai pemain dengan gol terbanyak dalam pertandingan Liga Super. Kelab ini mengucapkan yang selamat maju jaya untuknya dalam segala usaha masa depannya.

Sementara itu, penyerang Ghana, George Attram pula menjadi penjaring terbanyak pasukan Selangor2 dengan 9 gol.

Musim ini merupakan musim yang kurang memberangsangkan untuk pasukan utama, seperti yang diakui sendiri oleh Pengarah Sukan kelab, Michael Feichtenbeiner dalam temu bual sebelum ini. Perubahan sudah pun dirancang pada kakitangan kejurulatihan dan pasukan pertama, termasuklah pelantikan Feichtenbeiner ke jawatan ketua jurulatih pasukan utama. Beliau kini merancang untuk menurunkan pasukan utama yang akan lebih bersifat ‘attacking’ pada musim akan datang.

"...Matlamat pertama saya adalah untuk menghiburkan penyokong kami. Jika mereka teruja untuk melihat permainan yang bagus, ia dikira sebagai kejayaan kepada saya sebagai jurulatih. Sebagai jurulatih, keutamaan saya adalah untuk menjaringkan gol, bukannya bertahan dan menunggu untuk mengambil kesempatan daripada kesilapan untuk menang 1-0. Saya mahu menyerang dari awal, kerana kami mempunyai reputasi yang perlu dikekalkan dan selalunya menjadi pasukan kegemaran menghadapi setiap perlawanan. Kami mesti berbangga menjadi Selangor FC, dan kami mesti menyerang dan menjaringkan gol sebanyak mungkin."

Walaupun musim 2021 kurang menyerlah untuk Gergasi Merah, penyokong boleh mengharapkan usaha penambahbaikan serta merta. Lebih banyak perubahan senarai, pelantikan dan kemas kini kelab akan diumumkan dalam minggu-minggu akan datang, kerana kelab ini berusaha keras untuk memulakan musim yang lebih berjaya tahun depan.

‘Demi Kebanggaan’

Oleh Zulhilmi Zainal