SELANGOR FC
BERITA

Kenali Nidzam Jamil

Dec 05, 2021 - FAS

Nidzam Jamil - "Masa yang baik untuk saya kembali ke tempat saya belajar bola sepak bertahun yang lalu"

Persediaan yang baik adalah penting untuk perancangan Selangor FC, dan persediaan ini telah dilaksanakan lebih awal dengan beberapa lantikan baharu dalam barisan kejurulatihan baru-baru ini.

Hanya beberapa hari selepas musim 2021 kami berakhir, beberapa peralihan tugas telah dibuat sebagai persediaan untuk musim akan datang, dengan salah satu daripadanya membawa nama yang tidak asing lagi untuk bersama kelab iaitu bekas pertahanan Selangor dan bekas ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil. Beliau telah dilantik sebagai penolong ketua jurulatih pasukan utama bersama Karsten Neitzel, di mana mereka berdua ditugaskan untuk membantu ketua jurulatih yang baru, Michael Feichtenbeiner.

Kepulangan Nidzam Jamil ke kelab yang sudah sinonim dengan perjalanan bola sepak beliau sebagai seorang pemain telah diumumkan secara rasmi minggu lalu. 

Ketika ditanya mengenai reaksi santai yang dibuatnya dua tahun lalu, apabila diajukan mengenai kemungkinan menerajui Selangor pada masa hadapan, Nidzam, yang merupakan ketua jurulatih Felda United ketika itu, secara puitis menyatakan Selangor umpama "bekas kekasih", dan dia belum bersedia untuk mengambil alih kelab ini.

Semasa sesi temubual, Coach Nidzam tertawa apabila diingatkan kembali tentang kenyataannya itu, dan menjelaskan mengapa jawapannya positif kali ini, apabila diminta kembali sebagai penolong ketua jurulatih.

"Ia adalah pilihan yang mudah. Apabila Selangor FC memanggil anda untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan, saya rasa tidak wajar untuk saya menolaknya. Saya mungkin tidak akan mendapat peluang yang sama lagi. Tambahan pula, saya rasa ini masa yang sesuai untuk saya kembali ke tempat saya belajar tentang bola sepak selama bertahun-tahun yang lalu.

"Saya suka cabaran yang datang bersama dengan keputusan ini. Pemain datang dan pergi, padang latihan kini berbeza, gelanggang sendiri juga telah berubah, tetapi matlamat untuk memberi persembahan terbaik untuk penyokong tetap sama. Penyokong Selangor FC sangat mengambil berat tentang pasukan ini dan anda tidak akan nampak tahap obsesi ini di kebanyakan kelab lain," jelas bekas pemain kebangsaan Malaysia itu.

Bekas pemain berusia 41 tahun itu turut mengulas mengenai perubahan yang dilihatnya setakat ini di Selangor FC.

“Seronok melihat kelab ini diuruskan oleh muka-muka baharu dan segar sekarang, yang tampil dengan bukan sahaja idea baharu, tetapi juga proses pemikiran yang berbeza.

"Paling penting, tempat latihan juga telah mengalami transformasi. Jika kita mahu menambah baik, kita perlu menambah baik dalam bahagian tertentu dan mempunyai kemudahan yang betul adalah separuh daripada gerak kerja yang patut dilakukan," kata Nidzam.

Sejurus beliau menjadi keluarga kem Merah Kuning, beliau ingin meneruskan tugasnya membantu Feichtenbeiner menurunkan pasukan yang kompetitif pada 2022. Sebagai penolong ketua jurulatih, Nidzam kongsikan pembahagian tugas yang bakal menjadi tanggungjawabnya. 

"Saya di sini untuk membantu Michael dan Karsten mengukuhkan pelaksanaan falsafah dan gaya permainan kelab. Tetapi antara bahagian yang akan saya tumpukan ialah permainan berpasukan dan barisan pertahanan. Mengurangkan jumlah gol yang dibolosi adalah salah satu perkara yang akan diteliti oleh kami.

"Anda perlu bertahan dengan baik untuk mempunyai pasukan yang kuat, dan ini bermakna melakukannya bersama-sama sebagai satu pasukan dan bukan hanya tugas pemain pertahanan. Saya juga akan turut memberi tumpuan kepada pemain-pemain muda dan membantu membina personaliti mereka" jelasnya.

Mengakhiri temu bual, beliau menekankan kepentingan untuk perhatian sepenuhnya diberikan kepada Feichtenbeiner, dan untuk semua yang bersama di kelab ini, termasuklah penyokong yang menyuarakan sokongan terhadap Nidzam, untuk memberi sokongan kepada visi jurulatih Jerman itu.

"Tugas yang kami ada sekarang bukanlah projek yang mudah, untuk kami semua dan juga penyokong. Kami faham bahawa beban tanggungjawab itu terpikul di bahu kami di Selangor FC, tetapi kami mahu menuju ke mana kami perlu tuju bersama penyokong kami, pada hari buruk dan juga hari baik," kata Nidzam dengan yakin.

"Jika kita semua sehaluan, jurulatih, pemain dan penyokong, saya percaya kita mampu pergi lebih jauh. Saya nampak hala tuju tetapi kita mesti terus menyokong satu sama lain. Penyokong mesti menyokong kelab, dan Selangor FC tidak boleh mengecewakan penyokong mereka”.

Demi Kebanggaan!