SELANGOR FC
BERITA

RASMI : Samuel Somerville Is RED!

Dec 17, 2021 - FAS

Berdarah kacukan kelahiran Malaysia-England, Samuel Somerville, 27 tahun, hari ini diumumkan secara rasmi sebagai penjaga gawang terbaru Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2022.
 
Berasal dari Farnborough, England, beliau mula melakar nama dalam Liga Malaysia pada tahun 2016 sewaktu usianya 21 tahun. Mesra dengan panggilan Sam, nama beliau mula menjadi bualan apabila menjadi salah seorang tonggak utama yang membantu pasukan Penang FC menjuarai Liga Premier 2020 sekaligus melayakkan mereka ke Liga Super musim 2021.

Beliau kemudian berjaya mendapatkan panggilan kebangsaan pertamanya bersama Harimau Malaya pada bulan Mei 2021 susulan aksi yang mengagumkan bersama kelabnya dalam saingan Liga Super musim tersebut.
 
Sam melihat Selangor FC merupakan destinasi seterusnya untuk beliau mencapai kejayaan bersama untuk musim 2022.

"Apabila anda bercakap tentang bola sepak di Malaysia, saya rasa Selangor FC merupakan antara pasukan pertama yang akan disebut.

"Jadi, saya faham betapa besarnya makna bermain untuk kelab ini. Saya tahu Selangor FC mempunyai cita-cita tinggi untuk mencapai kejayaan musim hadapan dan ianya sama seperti apa yang saya mahukan.

"Kami mahu mencapai kemenangan bersama,"
 
Sebelum menamatkan temu bual, Sam sempat menyatakan sokongan penyokong dikala suka dan duka amat bermakna untuk pasukan. Beliau mahu penyokong The Red Gaints teruskan menyokong pasukan untuk musim 2022 ini.
 
Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Samuel Somerville ke kem Gergasi Merah dan semoga dapat memberikan persembahan serta saingan yang baik untuk Liga Malaysia musim ini.

Selamat maju jaya, Sam!
 
Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim hadapan.
 
Demi Kebanggaan!