SELANGOR FC
BERITA

Ketua Sains Sukan Baharu Dr Hazwan Khair Mahu Jabatannya "Mencipta Jentera Terbaik"

Dec 28, 2021 - FAS

Baru-baru ini, pihak pengurusan telah melantik Dr. Muhammad Hazwan Bin Khair sebagai Ketua Jabatan Sains Sukan yang merupakan sebahagian daripada usaha Selangor FC untuk memodenkan operasi kelab. Berusia 35 tahun, beliau mula menyandang jawatan tersebut pada awal bulan ini, setelah menamatkan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Perubatan Antarabangsa, dan kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan Sukan di Universiti Malaya.

Semasa berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Hazwan memperoleh pengalaman yang luas terutamanya dalam bidang sukan. Di samping masanya sebagai atlet pelajar semasa zaman persekolahan dan universiti, beliau telah bekerja dalam sukan ragbi Malaysia di pelbagai kapasiti termasuk menjadi doktor pasukan kebangsaan sukan tersebut. Beliau adalah seorang pendidik perubatan yang disahkan oleh kesatuan ragbi dunia yang mentadbir serta membuat undang-undang Ragbi Dunia.

Tetapi kini dia telah mengambil langkah seterusnya dalam kariernya dalam sukan profesional, dengan menyertai Selangor FC. Tugas pertamanya ialah mengenal pasti punca salah satu masalah terbesar pasukan utama musim ini; kecederaan yang dihadapi oleh ramai pemain.

"Itulah yang ingin dikenal pasti kelab dengan mengambil khidmat saya: untuk mengetahui sebab kecederaan berlaku dan bagaimana proses pemulihan pemain boleh dilakukan dengan lebih baik. Walaupun kadangkala kecederaan dipersalahkan atas nasib malang atau keadaan padang permainan, terdapat faktor lain yang boleh menyumbang kepada pemain mengalami kecederaan, seperti sejarah kecederaan dan status latihan mereka.

"Kami kini ingin mengetahui secara lebih terperinci mengapa kecederaan berlaku; dengan melihat faktor di atas dan aspek lain seperti pendekatan mental pemain untuk setiap perlawanan. Saya ingin melihat faktor ini bersama-sama dan kemudian untuk mendiagnosis, mengurus dan memperbaiki kecederaan ini supaya kita dapat mengurangkan risiko kecederaan pada masa hadapan. Itu sasaran jabatan untuk tahun hadapan," kata pengamal perubatan itu.

Dan untuk mencapai matlamat ini, Hazwan berharap mendapat kerjasama daripada setiap jabatan di kelab itu termasuk pemain.

“Apa yang kita cuba capai tidak boleh dilakukan oleh jabatan sains sukan sahaja,” akuinya terus terang. “Saya akan bekerjasama dengan jurulatih, malah penganalisis, untuk membantu mereka memahami perkara yang kami cuba laksanakan supaya pendekatan itu lebih holistik.

"Kami kini cuba mendapatkan input kakitangan kejurulatihan juga kerana kami mahu merancang dengan lebih baik dari segi kepulangan pemain daripada kecederaan dan kecergasan awal. Mulai sekarang ia lebih kepada usaha secara berpasukan dan kami tidak boleh bekerja secara berasingan lagi.

"Pemain perlu bersedia dengan baik dan berasa dijaga dengan baik, dan mereka juga sangat bimbang akan mengalami kecederaan. Kebimbangan mereka adalah sama ada mereka akan diuruskan dengan baik dan boleh kembali bermain tepat pada masanya. Saya mahu mengurangkan kebimbangan ini supaya mereka benar-benar mempercayai perkhidmatan pemulihan kami dan seterusnya, Jabatan Sains Sukan."

Satu lagi matlamat yang Hazwan tetapkan dalam peranan baharunya ialah untuk mengoptimumkan operasi jabatannya, memastikan setiap unit saling melengkapi dalam proses persediaan pemain Selangor FC.

"Jabatan sains sukan kelab menggabungkan unit ‘strength and conditioning’, ahli psikologi kelab, unit pemulihan dan pakar pemakanan. Kami semua berusaha ke arah matlamat yang sama; untuk memastikan pemain kelab membuat persediaan terbaik.

"Kami mempunyai salah satu kemudahan terbaik di negara ini, tetapi kini tiba masanya untuk bukan sahaja mempunyai perkakasan terbaik. Kami juga perlu menyatukan semua perisian; ‘CPU, RAM, hard drive’ dan semuanya perlu berfungsi bersama-sama untuk menghasilkan jentera terbaik," jelas bekas MD pada akhir temu bual.

Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr. Hazwan dalam peranan baharunya di Selangor FC.

Demi Kebanggaan.

Disediakan oleh Zulhilmi Zainal