SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Berhasrat Untuk Mengembangkan Komuniti Penyokong Melalui Tawaran RGNFC Dan Saluran Discord

Jan 02, 2022 - FAS

Pada 12 Disember 2021, Selangor FC telah mengumumkan penglibatan kelab dalam dunia ‘Non-fungible Token’, atau NFT, dengan mengeluarkan dua produk dalam dua platform berasingan.

NFT pertama Selangor FC; yang dijenamakan sebagai Red Giants Non-Fungible Collections  (RGNFC) telah dipasarkan di pasaran NFT antarabangsa OpenSea, dan saluran NFT terulung Malaysia pentas.io. Sementara kesemua 10 siri Genesis yang dijual pentas.io, dalam bentuk lambang kelab yang turut disertakan tandatangan Pengerusi kelab, DYTM Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah habis dijual dalam tempoh 45 minit selepas dikeluarkan, Siri Ulang Tahun 85 Tahun Selangor FC, yang dijual di OpenSea masih boleh didapati. Siri ini adalah dalam bentuk lambang asli FA Selangor yang mula digunakan 85 tahun lalu.

Tetapi apakah NFT dan mengapa kami menceburi perniagaan ini?

NFT ialah satu bentuk seni digital, di mana di dalam industri sukan boleh dipasarkan dan didagangkan sebagai memorabilia, sama seperti jersi yang ditandatangani atau ‘trading card’. Walaupun seni digital boleh diduplikasi, setiap NFT dilengkapi dengan kod pemilikan unik yang hanya dimiliki oleh pembeli, hasil daripada ‘blockchain’.

Pemilikan NFT boleh dibeli dan dijual, dan ia telah berkembang menjadi perniagaan dalam talian yang menguntungkan, termasuk di negara ini, dengan beberapa artis NFT di Malaysia ‘minting’ atau menghasilkan NFT dengan nilai tinggi yang telah didagangkan dengan baik.

Sebagai contoh, hampir semua ‘The Genesis Series RGNFC’ telah diambil, dengan salah satu daripadanya kini dijual semula untuk 20 kali ganda harga asal yang dijual oleh kami.

Tetapi itu tidak bermakna RGNFC hanya dikeluarkan sebagai cara untuk Selangor FC mempelbagaikan pendapatan kami. Lagipun, NFT semakin berpengaruh menjadi alat membina dan menghubung komuniti terkini.

Pemilik atau pemegang RGNFC layak mendapat beberapa faedah seperti aktiviti digital, acara khas digital, tinjauan pendapat digital dan barangan eksklusif.

“Walaupun pada mulanya aktiviti yang disenaraikan bersifat lebih umum, namun kami telah selesai menjalankan aktiviti pertama yang dijadualkan untuk pemegang RGNFC baharu kami iaitu sesi bertemu bual dengan pemain baharu, penjaga gol Sam Somerville pada Khamis, 30 Disember, yang diterima baik oleh para peserta,” menurut Pengurus Projek, Amal Arif Hatta.

Walaupun Genesis Series telah habis dijual, terdapat beberapa lagi Siri Ulang Tahun 85 Tahun di OpenSea, tetapi ia terhad kerana hanya 85 daripadanya telah ditempa. NFT yang tidak terjual akan dihapuskan tidak lama lagi lantas membuatkan produk yang sudah terjual menjadi lebih eksklusif. Penyokong yang berminat untuk memiliki mana-mana produk RGNFC boleh membelinya melalui dua platform tersebut, tetapi dimaklumkan bahawa mereka perlu membuat pembelian menggunakan dompet mata wang kripto yang boleh didaftarkan di sana.

Tumpuan semasa inisiatif RGNFC adalah untuk menyampaikan faedah yang dijanjikan kepada pemegang Genesis Series dan Ulang Tahun, tetapi menurut Pengarah Program Ridwuan Mahamud, peminat tidak perlu menunggu lama untuk produk RGNFC seterusnya.

"Sebelum kami melancarkan produk  seterusnya, kami ingin menumpukan pada pemberian faedah kepada pemegang semasa dahulu. Tetapi kami sedang melihat untuk menghasilkan rangkaian RGNFC seterusnya pada suku pertama 2022."

Pengerusi kami menjelaskan sebab di sebalik inisiatif RGNFC:

"Kami mahu terus meneroka kemungkinan-kemungkinan baharu, dan dunia digital di sini penuh dengan idea baharu yang memberikan kami peluang yang tiada henti. Sebagai sebuah kelab bola sepak, kami melihat NFT sebagai masa depan untuk koleksi sukan dan memorabilia peminat. Dengan pengenalan NFT Selangor FC yang pertama dalam sejarah kelab ini, saya percaya ia adalah langkah seterusnya untuk mewujudkan kehadiran kami dalam ruang digital. Ini adalah masa depan dan kami berada di sini untuk menghubungkan pemain ke-12 kami dengan legasi Selangor."

Maklumat lanjut mengenai RGNFC boleh diperolehi daripada saluran rasmi Selangor FC Discord, yang merupakan satu lagi inisiatif kelab baru-baru ini.

Walaupun saluran media sosial konvensional kami telah menjadi medium yang hebat untuk menyebarkan maklumat kepada peminat kami, komuniti Discord baharu menawarkan mod komunikasi dua hala dengan penyokong setia kami. Peminat boleh terlibat dalam sembang antara satu sama lain mengenai topik mengenai kelab, di mana kakitangan kelab sendiri mentadbir saluran itu.