The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Pelancaran Jersi Home Musim Baharu Selangor FC Di Hari Jersi Selangor 2022

Jan 17, 2022 - FAS

Selangor FC (SFC) dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran jersi home musim baharu menerusi program Hari Jersi Selangor 2022.

Pelancaran ini telah diadakan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 16 Januari 2022 dari 8:00 pagi hingga 6:30 petang. Pelbagai aktiviti menarik dijalankan untuk semua penyokong Gergasi Merah yang hadir memeriahkan suasana di stadium nanti.

Selain penjualan jersi home musim 2022, program-program lain juga turut dijalankan antaranya Klinik Soccer School yang dibuka penyertaan kepada peserta berusia tujuh hingga 12 tahun dengan kerjasama Team Selangor, pertandingan Penalty Showdown dan penjualan daripada food truck serta gerai-gerai penaja Selangor FC juga akan dibuka untuk para pengunjung sepanjang Hari Jersi Selangor 2022.

Program tumpuan pada hari ini adalah Meet & Greet bersama Baha' AbdelRahman dan Yazan Al-Arab, dua pemain import baharu pasukan Selangor FC dari Jordan yang baru sahaja menyertai sesi latihan kem Gergasi Merah minggu ini.

Video rasmi jersi home musim 2022 telah pun disiarkan secara langsung semalam di setiap platform media sosial Selangor FC bagi menyemarakkan lagi kehangatan Hari Jersi Selangor 2022.

Kembalinya warna merah sebagai warna utama di jersi kali ini dengan tambahan warna kuning untuk yang membawa maksud lambang keberanian, kedaulatan, kehormatan, kesetiaan, kebanggaan serta kejayaan, kebersamaan melalui suka dan duka sesebuah perjuangan.

Penggunaan 'MKLK', Merah Kuning Lambang Kebanggaan sebagai simbol utama di belakang jersi membawa maksud yang sangat dekat dengan kelab ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan tentang pemilihan 'MKLK' sebagai slogan rasmi bagi jersi home 2022.

"Seperti jersi musim-musim lalu, setiap musim jersi Home mempunyai maksud yang sangat dekat terutamanya dengan kelab ini. 'MKLK' digunakan sebagai simbol utama musim ini. Merah Kuning Lambang Kebanggaan merupakan kata-kata azimat yang sangat sinonim dengan para penyokong Gergasi Merah. Ia menunjukkan kesatuan atas dasar cinta dan kebanggaan untuk Selangor FC,

"Bukan sahaja menjadi kata-kata azimat sejak dari dahulu lagi, ia juga telah digunakan sebagai lirik serta tajuk lagu keramat pasukan Selangor FC, Merah Kuning Lambang Kebanggaan karya penulisan Anuar Razak. Lagu yang dimainkan di setiap perlawanan Home pasukan Selangor FC sejak dari tahun 90-an lagi,”

Dalam masa yang sama, Red Giants Non-Fundable Collection (RGNFC) yang telah dilancarkan pada 12 Disember 2021 juga akan mengeluarkan koleksi seterusnya bersempena pelancaran Home jersi ini dalam bentuk Non-Fungible Token (NFT) secara bidding di pentas.io. Koleksi ini juga dikeluarkan terhad kepada satu unit sahaja. 

Dapatkan jersi home Merah Kuning Lambang Kebanggaan musim 2022 di laman rasmi Selangorfc.com. Ayuh berikan sokongan anda untuk pasukan Gergasi Merah!

Demi kebanggaan.