Feb 03, 2022 - FASShah Alam - SELANGOR FC (SFC) menerima suntikan penajaan RM3.5 juta daripada syarikat berasaskan produk makanan dan minuman kesihatan, TDC Holdings (TDC) untuk musim baharu Liga Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr.Johan Kamal Hamidon berkata, TDC akan menjadi salah satu penaja utama skuad Gergasi Merah pada musim ini setelah menerima penajaan dari TDC semenjak musim 2021
“Kami berbesar hati menerima TDC sebagai penaja dengan jumlah tajaan RM3 juta untuk musim ini selain RM500,000 lagi dalam bentuk barangan,”
Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings, Mohd. Hafizuddin Hiew Abdullah juga berkata penajaan kepada Selangor FC pada musim lepas telah memberi peluang kepada TDC melebarkan jenama syarikat TDC dan juga produk-produk keluaran syarikatnya kepada pasaran penyokong bolasepak tanahair.
Dr.Johan berkata, penajaan tersebut merupakan satu penghargaan kepada kelab bolasepak tempatan di mana selepas menaja Selangor FC, pihak TDC juga telah menjalin penajaan bersama sebuah lagi kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia. Ini menunjukkan keyakinan syarikat korporat di Malaysia untuk menaja pasukan bolasepak sebagai platform pemasaran untuk produk mereka.
Sementara itu, Mohd. Hafizuddin berkata, status SFC sebagai antara pasukan yang mempunyai sejarah dan kejayaan dalam kancah bolasepak tempatan disamping pengikut yang ramai membuatkan beliau terus mengekalkan penajaan bersama Selangor FC.
Penajaan ini akan meliputi penjenamaan TDC di jersi latihan pasukan Selangor dan penjenamaan produk Alithera, salah satu produk TDC yang akan bakal dilancarkan. Selain dari itu, penjenamaan TDC di stadium, media sosial dan platform Selangor FC juga akan dipaparkan.
Jalinan kerjasama melalui penajaan ini bukan sahaja meliputi penajaan kepada pasukan tetapi kerjasama melalui program-program yang akan diadakan antara TDC dan juga Selangor FC. Program pertama yang akan dianjurkan bersama adalah program ‘Let’s Cope With A Neon Hope’ yang akan diadakan bersempena ‘Hari Kanser Sedunia’ pada 4hb Februari 2022 bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre. Pelbagai aktiviti sampingan telah dirancangkan termasuk pelancaran jersi away kit Selangor FC, pemeriksaan kanser percuma dan lain-lain lagi. Pada hari sama, setiap penjualan jersi ‘Away’ Selangor FC akan berpeluang mendapat diskaun tambahan RM8 hanya untuk pembelian pada hari tersebut tertakluk kepada terma dan syarat. Sebahagian daripada jualan jersi iaitu sebanyak RM5 juga akan didermakan kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan National Cancer Society Malaysia (NCSM).
Orang ramai dijemput hadir untuk majlis tersebut dan untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, boleh melayari www.neonhope.my .
Disediakan oleh
Unit Media, Selangor FC