SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Menerima Tajaan Berupa Bas Dua Tingkat Dari E-Mutiara Konsortium Berhad.

Feb 12, 2022 - FAS

Hari ini Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC telah berbesar hati menerima tajaan berupa sebuah bas dua tingkat yang berwajah baharu hasil daripada penerusan perjanjian kerjasama bersama Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) sejak 2019 lagi.

Kerjasama ini juga bakal memperlihatkan logo E-Mutiara dipamerkan sebagai salah satu logo di laman web rasmi SFC, selain dalam beberapa aset digital di semua platform media sosial SFC.

Menurut Pengerusi Eksekutif, Konsortium E-Mutiara berhad, Tuan Haji Che Ibrahim Che Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nik, "Kami sangat berbesar hati dapat meneruskan penajaan ini sejak 2019 dimana Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil alih pengurusan bolasepak Selangor,"

"Tajaan ini juga merupakan komitmen Konsortium E-Mutiara dalam membantu menaikkan nama Selangor FC kembali di persada bola sepak negara. Oleh itu, tahun ini kami telah menyediakan bas khusus dengan branding baru Selangor FC yang berwarna merah dan kuning beserta logo Kelab Bola Sepak Selangor untuk kegunaan pasukan,"

”E-Mutiara juga telah menjadi salah satu penaja jersi latihan pasukan Selangor FC musim ini selain mendapat penjenamaan di stadium, laman rasmi Selangor FC dan sosial media mereka,"

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut menzahirkan rasa gembira dapat meneruskan lagi bekerjasama dengan E-Mutiara sehingga kini.

“Tuan Haji Che Ibrahim Che Ismail, Pengerusi Eksekutif, Konsortium E-Mutiara berhad telah bersetuju untuk meneruskan kerjasama dengan Selangor FC selama empat musim. Ini juga memberikan isyarat kepada syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang dalam apa sahaja bidang untuk kekal bekerjasama dengan kelab-kelab bola sepak tempatan kerana industri bola sepak kita cukup dekat dengan rakyat Malaysia,” jelas Dr. Johan.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan berterusan dari pihak E-Mutiara kerana membantu pasukan dalam hal pengangkutan perjalanan sepanjang liga berlangsung. Saya yakin para pemain dan pegawai pasukan juga selesa dengan kelengkapan yang disediakan oleh bas E-Mutiara,"

"Selangor FC akan melakukan sedaya upaya untuk membalas kepercayaan yang diberikan. Kerjasama ini juga jelas membuktikan sukan bola sepak masih relevan sebagai platform untuk syarikat-syarikat melabur dan berkongsi kepakaran di antara satu sama lain," tambah Dr. Johan.

Selangor FC sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Konsortium E-Mutiara berhad dan berharap penerusan perjanjian kerjasama ini dapat membuka mata lebih banyak syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi rakan strategik Gergasi Merah.

 

Demi kebanggaan.