SELANGOR FC
BERITA

Progres Pramusim Dan Kelab Secara Menyeluruh Untuk Tahun Ke-2 Penggunaan DNA Selangor FC

Feb 17, 2022 - FAS

Selangor FC terus bekerja keras menjalani latihan pramusim pada minggu-minggu terakhir sebelum Liga Super Malaysia bermula musim ini pada awal bulan Mac nanti.

Michael Feichtenbeiner, Ketua Jurulatih Selangor FC bersyukur kerana musim pertama beliau secara rasmi memikul tanggungjawab mengendalikan pasukan utama, beliau merasakan telah diberi masa yang sesuai untuk menjalankan sesi pramusim bersama anak-anak buahnya.

"Jurulatih dan pemain mendapat masa yang cukup untuk membuat persediaan sebelum liga bermula. Pasukan mempunyai lebih masa bersama untuk pemain tempatan dan import baharu menyesuaikan diri dengan baik dan membina hubungan baik dengan rakan sepasukan yang lain," katanya.

“Penambahan pemain terkini dalam skuad tahun ini seperti Samuel Somerville, Fazly Mazlan, Zahril Zabri, Syahir Bashah, Yazan Al-Arab, Baha ‘Abdelrahman, Herlison Caion dan Hyuri Henrique telah menunjukkan saingan yang baik sepanjang sesi latihan yang kami kendalikan,” katanya. 

"Semuanya berada di landasan yang tepat untuk persiapan pasukan tetapi untuk bulan ini agak berbeza kerana empat pemain muda pasukan utama sedang mewakili negara untuk AFF B-23. Mereka adalah pemain penting dari sudut ‘squad depth’ pasukan utama, jadi kami terpaksa mengubah beberapa rancangan bagi melepaskan mereka untuk negara, tetapi semuanya masih dalam keadaan terkawal," tambahnya lagi.

Ketika ditanya mengenai progres keseluruhan kelab, Michael menambah, “DNA Selangor FC yang kami sasarkan sebelum ini adalah berteraskan untuk menyediakan dan melahirkan bakat muda  bermain di pentas yang lebih tinggi, juga telah nampak perkembangannya, terutamanya apabila pemain muda dilihat mampu membawa impak yang positif kepada pasukan bukan sahaja di peringkat kelab tetapi juga kebangsaan,"

"Ini adalah tahun kedua di mana Selangor FC melaksanakan sistem itu merentasi semua piramid bola sepak Red Giants dari persediaan pemain-pemain belia sehingga pasukan utama. Hubungan dan persefahaman daripada pemain ini penting kerana ia akan membolehkan peralihan yang lebih baik untuk mereka dinaikkan dan terus berkembang serta bermain di peringkat lebih tinggi,” katanya.

“Kita boleh lihat perkembangan dan hasil sistem ini apabila beberapa pemain yang dinaikkan pangkat ke pasukan utama, menunjukkan peningkatan yang baik di peringkat senior dan beberapa daripada mereka juga telah dipanggil untuk bermain bersama pasukan senior negara,” bangga Michael.

"Ini juga mewujudkan keseimbangan yang baik dan suasana yang hebat dengan campuran pengalaman antara pemain senior dan bakat pemain muda dalam satu pasukan. Kami faham bahawa pembangunan akan mengambil masa kerana apa yang kami cuba bina di sini adalah untuk suatu proses jangka panjang demi masa depan Selangor FC. Akan tetapi, kemenangan sentiasa menjadi keutamaan kami dan ini akan menjadi matlamat kami sepanjang musim ini," tegasnya.

Untuk pengetahuan semua, Sabtu ini, Selangor FC akan menentang Terengganu FC untuk perlawanan persahabatan terbuka di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Untuk maklumat lanjut tentang perlawanan persahabatan: https://fb.me/e/1HeEFSP6L

Ayuh Red Giants!

Demi Kebanggaan!