Feb 19, 2022 - FASSelangor FC telah mengumumkan kemasukan dua pemain yang berasal Brazil iaitu Herlison Caion dan Hyuri Henrique bagi melengkapkan kelima-lima kuota pemain import kem Gergasi Merah untuk musim ini.
Caion merupakan seorang penyerang yang mempunyai pengalaman bermain di Liga Thailand lebih dari tiga musim manakala Hyuri pula sebelum ini bermain di negara China untuk dua musim. Pengalaman kedua-dua pemain ini bermain di Asia sedikit sebanyak akan membantu mereka bagi menghadapi kancah Liga Malaysia buat kali pertama tahun ini.
Semasa temubual bersama Hyuri, beliau menyatakan gembira dapat peluang bermain di sini selepas berjumpa dengan rakan sepasukan.
"Ini kali pertama saya bermain di Malaysia dan saya sangat berterima kasih kepada rakan sepasukan, mereka sangat baik dari hari pertama di sini. Saya tidak menafikan bakat-bakat yang ada di depan mata saya sekarang ini telah membuat saya teruja dan gembira berada di sini,”
"Mereka (rakan sepasukan) sangat baik dan mempunyai kualiti tersendiri. Barisan jurulatih dan pihak pengurusan telah membuat gabungan pemain senior dan pemain muda yang menarik dalam pasukan ini. Saya percaya dengan apa yang kami ada. Oleh itu, saya yakin kami boleh menghasilkan sesuatu untuk musim ini," tambah Hyuri
Herlison Caion juga merasakan perkara yang sama, "Rakan sepasukan menerima saya dengan sangat baik dan ia membantu saya untuk lebih mudah menyesuaikan diri. Terima kasih kepada mereka,"
"Saya sudah boleh bayangkan bagaimana kancah bola sepak Malaysia selepas bermain beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini. Dalam dua minggu saingan akan bermula dan saya sedang membuat persediaan yang baik untuk dapat membantu pasukan bersama-sama rakan sepasukan yang lain," tambahnya lagi.
Sepanjang persiapan pramusim berjalan bagi musim 2022 ini, beberapa siri perlawanan persahabatan tertutup telah diadakan. Caion telah menjaringkan empat gol daripada lima perlawanan manakala Hyuri pula dua gol daripada tiga aksinya bersama Selangor FC.
Manakala esok akan berlangsung satu lagi perlawanan persahabatan dan kali ini terbuka kepada penyokong. Iaitu perlawanan di antara Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Maklumat lanjut tentang harga tiket dan siaran langsung di sini.
Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Herlison Caion dan Hyuri Henrique ke kancah bola sepak Malaysia. Semoga mereka dapat membantu pasukan untuk mencapai kejayaan bersama dan membawa momentum pramusim ini menjelang liga kelak.
Demi Kebangaan!