Meru, Klang – Bersempena dengan pembukaan kilang baharu SugarBomb di Meru, Klang, SugarBomb dengan berbesar hati telah menjemput Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda SelangorTengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk mencemar duli sekaligus merasmikan kilang tersebut.
Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Raja Muda Selangor merupakan Pengerusi Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS). Semenjak 2020, SugarBomb merupakan ‘Official Fragrance Partner’ kepada Pasukan Bola Sepak Selangor. Pada tahun pertama kolaborasi ini SugarBomb telah mengeluarkan produk kolaborasi bersama iaitu 3 wangian air freshener (Edisi SFC) berinsipirasikan dari jersi-jersi Selangor FC pada tahun 2020.
Sempena meraikan musim 2022, SugarBomb telah mengeluarkan produk kolaborasi yang terbaru iaitu 3 wangian poket EDP (pocket perfume) berinspirasi konsep yang sama iaitu jersi-jersi Selangor FC untuk tahun 2022. Ikatan kerjasama ini juga bakal memperlihatkan penggunaan logo SugarBomb di belakang jersi SFC, website rasmi SFC, beberapa aset digital SFC dan juga promosi pada setiap hari perlawanan yang melibatkan Pasukan Selangor FC.
Perancangan untuk terus bekerjasama di dalam pelbagai aspek pemasaran adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan bersama antara pihak SFC dan juga SugarBomb. SugarBomb juga berharap kerjasama ini akan membolehkan mereka menjadi penaja utama untuk pasukan Bola Sepak Selangor pada masa hadapan.
Menurut Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbomb, Ahmad Azhari berkata, "Kami di Sugarbomb sangat- sangat gembira dapat terus menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah untuk tahun ketiga berturut-turut. Saya berharap hubungan yang terjalin ini dapat terus dikekalkan demi kemajuan pihak SugarBomb dan Selangor FC," ujar beliau.
Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut berkongsi rasa gembira beliau di atas kerjasama ini. "Kami di Selangor FC sentiasa gembira dapat menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan seperti SugarBomb. Keyakinan SugarBomb untuk meneruskan penajaan membuktikan bahawa penajaan kelab bola sepak tempatan dapat membantu meningkatkan penjenamaan penaja sekaligus nilai jualan syarikat", jelas beliau.