The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Sorotan Menarik #KLCSFC

Mar 06, 2022 - FAS

Keputusan seri 3-3 sewaktu menentang KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada hari Jumaat yang lalu dalam aksi pembukaan Liga Super 2022 telah mempamerkan perlawanan yang menarik dan seimbang.

Kita imbas kembali beberapa perkara penting daripada pertemuan Selangor FC dan KL City FC, perlawanan yang telah memberikan satu mata pertama buat pasukan.

1. Gandingan mantap dua pemain import baharu dari Brazil di bahagian serangan

Herlison Caion dan Hyuri Henrique masing-masing berjaya menjaringkan debut gol mereka dalam perlawanan ini dalam separuh masa pertama.

Hyuri telah membuka akaun jaringannya sekaligus sebagai penjaring pertama Selangor FC musim ini dengan menanduk masuk sepakan percuma daripada seorang lagi pemain import baharu Gergasi Merah, Baha’ Abdelrahman pada minit ke-18.

Caion pula menjaringkan dua gol pertama beliau pada minit ke-27 dan ke-78 melalui sepakan penalti kedua-duanya yang berjaya menundukkan Mendoza, penjaga gol KL City FC.

2. Keberanian ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner membuat pertukaran dengan memasukan pemain muda tempatan menggantikan pemain import di separuh masa kedua perlawanan sangat menakjubkan

Michael Feichtenbeiner terkenal dengan kepercayaannya terhadap pemain-pemain muda. Ini telah terbukti sejak dari musim 2020 lagi dimana beliau telah memberi peluang kepada Sharul Nazeem, Aliff Haiqal Lau, Danial Asri dan Zikri Khalili beraksi di bawah kendaliannya sebagai pemangku ketua jurulatih. Kini beliau sekali lagi melakukannya dengan memasukan Syahir Bashah, Rahman Daud dan Zahril Zabri menggantikan Hyuri Henrique, Baha’ Abdelrahman dan Safuwan Baharudin di separuh masa kedua. 

Peluang yang beliau berikan kepada mereka telah digunakan dengan sangat baik. Selain itu, perkara ini telah memberi semangat kepada pemain muda untuk mendapat peluang beraksi selagi mereka menunjukkan kebolehan masing-masing dan bukan sahaja sebagai pelengkap pasukan.

3. Debut Syahir Bashah

Kemasukan Syahir telah memberi impak yang tinggi terutamanya di bahagian serangan. Beliau berjaya mengucar kacirkan bahagian pertahanan KL City FC dengan ketangkasan serta kawalan bola yang baik. Beliau juga merupakan penyumbang kepada gol ketiga Selangor FC, rembatannya telah terkena tangan pemain pertahanan KL City, Irfan Zakaria pada minit ke-76 dan sekaligus dihadiahkan sepakan penalti. Peluang itu kemudian disudahkan oleh Caion. Perlawanan ini juga merupakan penampilan sulung bagi beberapa pemain Selangor FC termasuklah Syahir, Caion, Hyuri, Baha’, Yazan, Quentin dan Rahman untuk Liga Super. 

4. Abdul Rahman Daud menjadi pemain termuda dalam sejarah Selangor FC bermain bersama pasukan utama

Rahman yang baru sahaja menandatangani kontrak profesionalnya bersama pasukan Selangor FC musim ini telah mempamerkan kelebihannya semasa sesi latihan sekaligus mendapat kepercayaan ketua jurulatih Michael Feichtenbeiner untuk beraksi dalam perlawanan ini. Beliau telah mengganti pemain import baharu Gergasi Merah, Baha’ Abdelrahman pada minit ke-80, biarpun bermain selama 14 minit sahaja namun beliau telah memanfaatkan masa yang ada dengan beberapa gerakan bahaya di kubu pihak lawan. 

Usianya kini 17 tahun, 10 bulan dan 22 hari telah menjadikannya pemain termuda dalam sejarah Selangor FC selepas Zikri Khalili (18 tahun, 3 bulan & 15 hari) Zameer Zainun (18 tahun, 4 bulan dan 5 hari) dan Syahmi Safari (18 tahun, 11 bulan dan 16 hari) selepas era Semi-Pro bermula.

5. Safuwan Baharudin telah mengetuai pasukan dengan cemerlang biarpun terpaksa keluar kerana mengalami kecederaan di hujung perlawanan

Safuwan diberi tanggungjawab menjadi kapten pasukan dalam perlawanan ini menggantikan Brendan Gan yang berada di bangku simpanan. Beliau telah melakukannya dengan sangat cemerlang lebih-lebih lagi dalam membantu pemain-pemain muda berapa di posisi yang tepat. Beliau yang dihormati dan arahannya diterima baik oleh rakan sepasukan, juga telah beraksi dengan sangat baik sepanjang perlawanan. 

Selangor FC mengharapkan aksi yang menarik dipamerkan serta kemenangan daripada pasukan untuk perlawanan seterusnya. Teruskan berjuang Red Giants!

Demi Kebanggaan!