The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Perlawanan Piala FA 2022 : Selangor FC vs Harini FT

Mar 11, 2022 - FAS

Perlawanan pertama Piala FA 2022 bakal berlangsung setelah dua musim saingan ini tidak aktif. Malam ini, Selangor FC telah diundi menentang pasukan M3, Harini FT di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Ini merupakan perlawanan kedua dan terakhir (mungkin) pasukan Gergasi Merah untuk bulan ini setelah perlawanan kedua Liga Super 2022 menentang Sri Pahang FC terpaksa ditangguhkan. Maklumat lanjut berkenaan aksi ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa. 

Michael tidak memandang enteng pasukan lawan, "Semasa saya di Jerman, pernah kadangkala sukar untuk menentang pasukan liga divisyen bawah. Jadi, kami tidak memandang rendah pasukan Harini FT dan kami perlu sentiasa fokus kepada prestasi di dalam padang,"

"Kita perlu bermain dengan penuh yakin untuk mendapatkan gol awal kerana ia sangat membantu bagi mengekalkan momentum yang baik sehingga tamat perlawanan. Sudah pasti kami mahukan kemenangan serta menunjukkan prestasi yang baik. Kami akan membuat banyak tekanan kepada mereka dan menjaringkan beberapa gol. Itu sasaran kita,"

"Untuk Piala FA, kami hanya boleh menggunakan empat import kerana itu adalah sebahagian daripada peraturan perlawanan. Jadi, akan lebih ramai pemain tempatan diberi masa untuk beraksi. Ini adalah peluang besar dan saya percaya dengan kebolehan mereka semua,"

Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan pertama Piala FA hari ini, pasukan Selangor FC terpaksa melupakan khidmat Halim Saari dan R. Dinesh yang masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL). Seterusnya, Zikri Khalili, pemain pertahanan muda pasukan sedang merawat ‘lateral meniscus tear’.

Namun begitu, penyokong Selangor FC boleh bersorak gembira dengan kembalinya Shahrel Fikri bersama pasukan untuk perlawanan malam ini. 

Semoga Selangor FC berjaya mendapat kemenangan dalam perlawanan kalah mati malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!