Mar 16, 2022 - FASKelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan perjanjian penajaan dan kerjasama bersama syarikat minuman prestasi sukan, Gorilla Malaysia.
Kerjasama ini bakal memperlihatkan penggunaan logo Gorilla di laman web rasmi SFC dan di stadium pada hari perlawanan, selain dalam beberapa aset digital di semua platform media sosial SFC sebagai simbol rakan rasmi pasukan. Gorilla Malaysia juga bakal membekalkan produk keluaran mereka untuk kegunaan para pemain dan barisan kejurulatihan sepanjang mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2022. Penajaan ini bernilai lebih RM200,000.00
Menurut Pegawai Eksekutif Gorilla Malaysia, Chen Ho Chwen, "Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah musim ini. Melalui kerjasama dengan Selangor FC, Gorilla ingin mengalami kemeriahan sukan ini bersama dengan peminat-peminat bola sepak tanah air. Kami yakin bahawa para pemain dan peminat akan mendapat manfaat daripada minuman prestasi sukan kami yang dirumus secara saintifik.”
Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut menzahirkan rasa gembira beliau di atas kerjasama yang terjalin ini. "Kami sentiasa membuka pintu dan mengalu-alukan kehadiran syarikat tempatan mahupun antarabangsa untuk bekerjasama bersama kami. Ini merupakan penanda aras bahawa kelab bola sepak tempatan masih relevan dan kami akan bekerjasama bersama Gorilla Malaysia untuk mencapai objektif pemasaran kedua-dua belah pihak," tambah Dr. Johan.
Selangor FC sekali lagi dengan rasa besar hati ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Gorilla Malaysia di atas penajaan ini dan semoga perjanjian ini dapat memberi peluang lebih banyak syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi rakan strategik Gergasi Merah.
Demi kebanggaan!