Apr 04, 2022 - FASProgram Soccer Schools Selangor FC akan berehat seketika sepanjang bulan Ramadhan ini setelah berlangsung sejak 6 minggu yang lalu dan akan kembali semula berlatih seperti biasa pada 14 Mei 2022.
Pembangunan belia dan akar umbi merupakan antara pendekatan yang diambil oleh Selangor FC bertujuan untuk menyediakan kanak-kanak dibangku sekolah di seluruh negeri Selangor dengan latihan bola sepak yang konsisten dan teratur melalui penyertaan sekolah mereka.
Selepas hampir 2 tahun (20 bulan) tidak dapat menjalankan program ini, kanak-kanak tidak dapat berlatih secara fizikal, berikutan sekatan SOP dan Covid-19 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang tidak membenarkan sebarang program dijalankan di sekolah.
Setelah membuat pertimbangan dan perancangan yang teliti, pihak Soccer School Selangor FC telah mengadakan program di padang awam MBSA Seksyen 8 Shah Alam. Hampir 140 kanak-kanak berlatih setiap minggu sepanjang sesi pagi Sabtu dan Ahad sejak bulan Februari yang lalu.
Pada hujung minggu 19 & 20 Mac 2022, kanak-kanak yang menyertai program ini telah mendapat peluang eksklusif berlatih di padang latihan rasmi Selangor FC. Mereka juga mendapat kejutan yang menggembirakan apabila selepas tamat sesi latihan, mereka dapat bertemu pemain-pemain dan jurulatih pasukan utama Selangor FC.
Dengan pengumuman oleh Kementerian Kesihatan bahawa Covid-19 akan mula memasuki fasa endemik dan kehidupan sosial secara amnya akan kembali seperti biasa. Banyak perancangan yang telah diatur oleh Pihak Soccer School Selangor FC untuk masa akan datang terutama sekali menjalankan sesi latihan mingguan di sekolah dan di luar lokasi sekolah (padang awam).
Pihak Soccer School Selangor FC berterima kasih kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang telah menyokong program ini. Kami akan mengambil masa yang ada untuk memperbaiki dan menaik taraf sistem yang digunakan bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada anda selepas cuti Hari Raya Aidilfitri pertengahan Mei 2022.
Demi Kebanggaan!