The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

LS3 : Perkembangan Terkini Perlawanan #NSESFC

Apr 04, 2022 - FAS

Pasukan Selangor FC akan menghadapi empat perlawanan dalam saingan Liga Super 2022 sepanjang bulan Ramadan ini.

Menurut Michael Feichtenbeiner, Ketua Jurulatih pasukan Gergasi Merah, beliau berterima kasih kepada dua jurulatih tempatan yang telah membantunya membuat perancangan yang terbaik bagi menghadapi bulan puasa ini.

"Ada beberapa perubahan perlu dilakukan bagi menghadapi bulan Ramadan ini. Sepanjang saya berada di sini, bulan ini sentiasa menjadi cabaran besar kerana saya masih tidak biasa dengan keadaan ini tetapi saya bersyukur dengan adanya Penolong Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil dan jurulatih kecergasan, Arulchelvan Illenggo, dua jurulatih tempatan yang mempunyai pengalaman mengendalikan latihan dan perlawanan pada bulan puasa terutamanya untuk pemain Muslim.

"Kami (jurulatih) telah membincangkan apa yang terbaik untuk pasukan dan kami akan melakukan yang terbaik sepanjang bulan ini bagi menjalani sesi latihan serta perlawanan-perlawanan yang ada."

Michael juga sempat berkongsikan keberadaan pemain, "Brendan Gan masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan beliau semasa pramusim yang lalu. R. Dinesh pula masih dalam pemulihan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dihadapi musim lalu.

"Berita baik untuk semua termasuk barisan jurulatih Selangor FC, Halim Saari telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan ACL dan beliau kini sudah pun kembali menyertai latihan bersama rakan sepasukan sejak minggu lepas lagi. Selain beliau, Zikri Khalili juga sudah menyertai pasukan daripada kecederaan lututnya."

Menurut Michael juga, pemain-pemain lain berada dalam keadaan terbaik mereka bagi meneruskan perjuangan menghadapi kancah Liga Malaysia.

Berikut adalah jadual saingan Liga Super 2022 Selangor FC bagi bulan April ini:-

5/4/2022, 10PM - NEGERI SEMBILAN FC vs SELANGOR FC
10/4/2022, 10PM - SELANGOR FC vs KEDAH DARUL AMAN FC
22/4/2022, 10PM - TERENGGANU FC vs SELANGOR FC
29/4/2022, 10PM - SELANGOR FC vs SRI PAHANG FC 

Selangor FC mengucapkan selamat berjuang kepada pasukan Gergasi Merah di bulan penuh rahmat ini. Semoga pasukan dapat berikan saingan terbaik dalam keempat-empat perlawanan di atas.

Demi Kebanggaan!