Apr 06, 2022 - FASKUALA LUMPUR, 6 April 2022 - Kelab Bola Sepak Selangor, Sanofi Malaysia dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan kempen memerangi Diabetes yang disasarkan kepada kalangan masyarakat di seluruh negara.
Kempen yang turut disokong oleh KKM, Diabetes Malaysia (DM) dan Malaysian Diabetes Educators Society (MDES) ini dinamakan ‘War Against Diabetes’ dan akan berlangsung secara atas talian bermula dari bulan April 2022 sehingga Jun 2022 dengan tujuan untuk memupuk kesedaran orang ramai dalam menjalani gaya hidup sihat, sambil memberi inspirasi dan motivasi dalam bersama-sama memerangi diabetes.
Ini juga selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat bagi menggalakkan orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan dan mengambil tindakan bagi mengelak Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dalam usaha membentuk sebuah negara yang lebih sihat. Kempen ini mensasarkan sebanyak 10,000 tandatangan oleh orang ramai pada petisyen yang disediakan sepanjang ianya berlangsung.
Antara inisiatif lain atau aktiviti digital yang akan dijalankan sepanjang kempen tersebut adalah perkongsian pengambilan makanan yang ideal, cara-cara bersenam untuk mengamalkan gaya hidup sihat, perkongsian nasihat dan tips berkenaan diabetes, pertandingan kesihatan bulanan, perkongsian pengalaman dari doktor pakar serta pesakit diabetes dan banyak lagi. Semua inisiatif ini akan disertai oleh beberapa pemain Selangor FC selaku atlet profesional, pakar diet Selangor FC, jurulatih kecergasan, dan turut serta pakar industri dan doktor dari Sanofi dan juga doktor pakar unit NCD dari KKM.
Turut memberi kenyataan ialah Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin, “Diabetes merupakan antara penyakit yang paling menular di Malaysia. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan pesakit diabetes daripada 13.4% pada tahun 2015 kepada 18.3% pada tahun 2019. Laporan ini turut menunjukkan bahawa satu daripada lima individu dewasa berumur 18 tahun ke atas hidup dengan Diabetes atau bersamaan dengan hampir 4 juta penduduk Malaysia. Justeru, usaha ini amat bertepatan dengan salah satu agenda utama ANMS iaitu meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia dan pendekatan ini turut merealisasikan salah satu matlamat ANMS; memperkasakan mesej kesihatan dengan penglibatan oleh agensi kerajaan, dan organisasi swasta seperti Selangor FC dan Sanofi".
Pengurus Besar, Organisasi Pelbagai Negara Sanofi, Marine Queniart-Stojanovic berkata, “Kami di Sanofi sentiasa mengalu-alukan kerjasama, lebih-lebih lagi dengan sesuatu yang unik seperti kolaborasi ini bersama sebuah pasukan bola sepak seperti Selangor FC dan KKM untuk meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kesihatan diri dan penyakit kronik. Semoga usaha-usaha ini dapat memperkasakan komuniti yang lebih sihat pada masa akan datang.”
“Dalam menandakan warisan seratus tahun Sanofi dalam penjagaan diabetes, kami juga telah berkerjasama dengan Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) untuk melancarkan GetInsulinRight.my. GetInsulinRight.my ialah platform e-pembelajaran pertama seumpamanya yang didedikasikan untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan mengenai pengurusan diabetes dengan insulin melalui satu siri modul pembelajaran dalam talian yang diperibadikan mengenai pengurusan insulin.”
“Dan, terima kasih kepada Kelab Selangor FC kerana menjadi rakan kongsi kami dalam mendidik negara untuk pengurusan diabetes yang lebih sihat. Hal ini adalah sangat penting bagi mereka yang menghidap diabetes menerima pendidikan diabetes yang berterusan, berkualiti tinggi, disesuaikan dengan keperluan mereka yang disediakan oleh para profesional."
Menurut Dr. Johan Kamal Hamidon pula, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, “Bola sepak adalah sukan nombor satu negara dan Selangor FC mempunyai jumlah pengikut yang ramai. Oleh itu, kami mempunyai tanggungjawab bersama untuk memupuk kesedaran akan bahayanya penyakit diabetes dalamkalangan rakyat Selangor dan Malaysia. Kami berharap dengan adanya kempen ini, Selangor FC dapat kongsikan kepakaran yang kami ada berkenaan cara menjalani gaya hidup sihat dari sudut profesional serta menarik minat dan perhatian penyokong bola sepak tempatan.”
Untuk mengetahui lebih lanjut dan menyatakan sokongan anda terhadap kempen ini, sila ikuti laman sesawang rasmi ‘War Against Diabetes’ di bawah:
Facebook: War Against Diabetes
Instagram: @wardiabetesMY
Twitter: @wardiabetesMY
Turunkan tandatangan anda pada pautan petisyen di bawah:
https://www.change.org/war-against-diabetes-MY
Pepatah ada berkata, ‘mencegah lebih baik daripada merawat’.
Demi Kebanggaan!