Apr 07, 2022 - FASSelangor FC telah menambah satu mata dalam saingan Liga Super 2022 menentang The Jangs di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Selasa lalu.
Beberapa perkara penting yang boleh di ambil dalam perlawanan tersebut biarpun pada minit ke-22 pasukan terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan, Yazan Al-Arab mengikut anginnya.
Alex Agyarkwa, pemain import muda pasukan mempamerkan permainan yang memberangsangkan di bahagian tengah pasukan
Pemain yang bertubuh kecil ini telah melakukan hampir kesemua gerak kerja di bahagian tengah bagi membantu pasukan dari segi pertahanan dan serangan selepas Yazan tidak dapat meneruskan perjuangan bersama. Kemahiran pemain tengah ini terutamanya dalam mengawal bola, membentuk kreativiti di bahagian tengah dan bertahan dengan baik menjadi antara senjata utama Selangor FC dalam perlawanan ini.
Alex merupakan pemain import muda ketiga pasukan Selangor FC 2 yang berjaya menembusi pasukan utama di tahun pertamanya bersama kem Gergasi Merah.
Aksi cemerlang Shahrel Fikri membantu bahagian serangan
Keberadaan Shahrel Fikri (Eky) dalam kesebelasan utama ternyata sangat membantu pasukan terutama sekali di bahagian serangan. Beliau telah beraksi cemerlangan dengan larian-larian kehadapan yang deras dalam menyerang, sentiasa berada di posisi yang tepat untuk menerima bola serta membuat dua percubaan yang merbahaya dalam perlawanan ini. Biarpun beliau tidak dapat beraksi penuh semalam, sepanjang beliau berada di padang bersama pasukan, Eky telah mempamerkan kemahirannya dengan sangat baik.
Quentin terus beraksi dengan baik sebaik sahaja pulang dari panggilan Harimau Malaya
Hadangan-hadangan penting dilakukan oleh Quentin Cheng telah membantu pasukan bertahan dengan 10 pemain sehingga taman wisel perlawanan. Selain itu, beliau juga telah membuat hantaran-hantaran lintang yang telah membantu jentera serangan dalam menyerang. Di sini dapat dilihat beliau telah bertahan dan menyerang dengan baik sebagai seorang pemain pertahanan kanan.
Selangor FC berharap pasukan perkara-perkara baik di atas dapat terus diterapkan dalam perlawanan seterusnya. Ayuh Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!