The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Perkembangan Terbaru : Selangor FC

Jun 11, 2022 - FAS

Pasukan utama Selangor FC telah menjalankan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi memperkukuhkan pasukan sepanjang tempoh rehat yang diberikan bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan untuk beraksi.

Menurut Ketua Jurulatih Michael Feichtenbeiner, perlawanan persahabatan ini diadakan bagi memberi peluang kepada pemain-pemain yang kurang mendapat minit perlawanan untuk mendapatkan rentak permainan bersama pasukan.

"Kami (jurulatih) cuba memanfaatkan masa yang ada untuk memberi peluang bermain kepada pemain yang ada serta menguji kecergasan mereka terutamanya pemain yang sudah lama tidak beraksi atas faktor kecederaan seperti Halim, Brendan dan Aliff Haiqal.

Selain itu, beberapa pemain Selangor FC 2 telah dipanggil berlatih bersama kami. Ini merupakan pendedahan yang baik untuk mereka beraksi bersama pemain-pemain senior yang ada. Hasil daripada peluang ini, Izwan Yuslan akan terus kekal bersama pasukan utama bersama pemain muda yang lain," Kata Michael.

Bercakap tentang pemain muda, Michael juga telah memberikan rehat kepada pemain kebangsaan bawah 23 tahun sementara menunggu pemain senior negara pulang minggu hadapan.

"Masih berbaki seminggu lagi sebelum sepak mula liga kembali. Jadi, saya memberi pemain kebangsaan bawah 23 tahun cuti beberapa hari kerana mereka telah menyertai dua kejohanan berturut-turut. Ini membantu mereka kembali segar dan mendapatkan rehat yang cukup sebelum kembali beraksi.

Saya juga menjangkakan Khairulazhan Khalid, Safuwan Baharudin, Baha' Abdelrahman dan Yazan Al-Arab akan kembali berlatih bersama pasukan pada minggu hadapan. Sementara itu, kami hanya lakukan apa yang termampu dengan pemain yang ada," tambahnya lagi.

Pasukan Gergasi Merah akan memulakan semula aksi Liga Super menentang Sarawak United FC pada 19 Jun ini setelah berehat panjang selama lebih kurang dua bulan kerana liga berehat.

Selangor FC berharap pasukan telah membuat persiapan yang rapi untuk beraksi demi lencana di dada sebelum sepak mula tidak lama lagi. Ayuh Red Giants!

Demi Kebanggaan!