SELANGOR FC
BERITA

Perkembangan eMFL : Keputusan Pusingan Kalah Mati

Jul 02, 2022 - FAS

DUA PASUKAN E-SUKAN SFC TERPAKSA AKUR TEWAS DI PUSINGAN KALAH MATI UNIFI EMFL LIGA SUPER

Dua pasukan e-sukan Gergasi Merah, Selangor FC dan Selangor FC 2 terpaksa akur selepas kecundang di pusingan kalah mati Unifi eMFL Liga Super 2022 kepada lawan masing-masing baru-baru ini.

Selangor FC yang diwakili oleh Kamil Jamaluddin (Maxnevis) dan Husnain Hakim (Rainnn9) yang menamatkan saingan liga ditempat ke-3 liga terpaksa menamatkan saingan di pusingan ke-3 ‘Lower Bracket’ selepas tewas 0-2 kepada PDRM FC manakala Selangor FC 2 yang diwakili oleh Putera (Killer) dan Alif Dani (411) juga dikecewakan oleh PDRM FC dengan keputusan 0-2 di pusingan pertama ‘Lower Bracket’.

Mula bersaing sejak bulan April, gandingan Kamil dan Husnain berjaya menamatkan saingan liga ditangga ke-3 selepas berjaya mengumpul 67 mata dari 34 perlawanan (21 menang, 4 seri, 9 kekalahan), cuma dipisahkan dengan 5 mata dengan Juara Liga, Melaka United FC yang berjaya mengumpul 72 mata (22 menang, 6 seri, 6 kekalahan).

Selangor FC 2 pula yang menggandingkan Putera dan Alif Dani berjaya menamatkan saingan liga dikedudukan ke-9 selepas berjaya mengumpul 52 mata hasil daripada 14 kemenangan, 10 seri dan 10 kekalahan. Kedudukan ini menyaksikan Selangor FC membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000 sebagai pemenang tempat ke-3 liga manakala Selangor FC 2 membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 untuk kedudukan 9 hingga 12.

Ini merupakan tahun ke-3 penganjuran Unifi eMFL Liga Super dan tahun ini merupakan pencapaian terbaik Selangor FC di tempat ke-3 jika dibandingkan dengan pencapaian dua edisi lalu ditangga ke-5 (2021) dan ke-9 (2020).

Sebanyak 18 pasukan bertanding di saingan liga Unifi eMFL Liga Super musim ini, di mana 12 pasukan terbaik akan bersaing di pusingan kalah mati dalam usaha untuk merebut kejuaraan berserta hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM40,000.

Terima kasih buat para pemain Gergasi Merah, Kamil (Maxnevis), Husnain (Rainnn9), Putera (Killer) dan Alif Dani (411) diatas komitmen dan usaha yang diberikan sepanjang kejohanan berlangsung dan kita cuba lagi pada edisi akan datang!

Demi Kebanggaan!