Jul 15, 2022 - FASPemain Selangor FC kelahiran Singapura, Safuwan Baharudin bakal diberi rehat yang panjang melalui kata sepakat Jabatan Perubatan Kelab Selangor FC serta berdasarkan khidmat nasihat beberapa pakar bedah saraf bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada proses pemulihan dan rehabilitasi kecederaan yang dialami beliau.
Pada awal Mei 2021, Safuwan telah mengalami kecederaan ‘cerebral concussion’ semasa menentang PJ City FC dalam saingan Liga Super 2021 ekoran hentakan di kepala selepas bertembung dengan pemain lawan dimana beliau terpaksa dikeluarkan pada waktu itu bagi mendapatkan rawatan sepenuhnya. Safuwan kembali mengikuti aktiviti pasukan seperti biasa selepas melalui fasa rehabilitasi tersebut dan sepanjang tempoh selepas beliau pulih daripada kecederaan pertama, Safuwan telah mengalami beberapa lagi siri kecederaan di bahagian kepalanya dalam perlawanan saingan liga dan sesi latihan.
Baru-baru ini, Safuwan sekali lagi mengalami pelanggaran di bahagian kepala yang sama semasa perlawanan menentang Sabah FC tempoh hari dan sekaligus memberi kesan terhadap kecederaan kepalanya sebelum ini.
Melalui diagnosis dan berdasarkan pemeriksaan klinikal Magnetic Resonance Imaging (MRI) yang dilakukan sejurus selepas perlawanan tersebut, beliau disahkan mengalami kecederaan di bahagian otak atau spesifiknya 'mild traumatic brain injury'.
Berikutan keputusan pemeriksaan MRI tersebut, Jabatan Perubatan Kelab Selangor FC dan beberapa pakar bedah saraf telah bersetuju bahawa Safuwan perlu menjalani tempoh rehat yang lama bagi membolehkan beliau melalui program pemulihan yang sepatutnya sebelum kembali ke program rawatan pemulihan bergraduat.
Kehilangan Safuwan buat tempoh ini sememangnya bakal dirasai oleh pasukan kerana beliau merupakan pemain berkepemimpinan tinggi yang telah banyak membantu pasukan dan para pemain terutamanya pemain-pemain muda di dalam dan luar padang.
Selangor FC berharap agar semua pihak dapat memberi ruang kepada beliau untuk melalui proses pemulihan dengan baik dan berdoa agar beliau kembali pulih sepenuhnya.
Demi Kebanggaan!