Jul 17, 2022 - FASTiga mata yang terus membenih keyakinan pasukan Selangor FC untuk terus bersaing di pentas Liga Super 2022.
Perlawanan #SFCPEN semalam telah menambah rekod statistik pasukan Gergasi Merah untuk musim ini dan beberapa fakta penting dapat diperoleh, seperti:-
1. Pertukaran pemain gantian yang tepat telah membawa kemenangan Selangor FC dalam perlawanan ini
Kemasukan Shahrel Fikri, Hein Htet Aung dan Syahir Bashah telah menambah sengat pasukan Gergasi Merah terutamanya di bahagian serangan.
Keberadaan Hein Htet Aung telah mengucar-kacirkan benteng pertahanan pasukan lawan dan ia telah membuka ruang yang lebih banyak untuk membuat serangan di separuh masa kedua perlawanan.
Shahrel Fikri, pemain yang sentiasa berkerja keras mendapatkan kembali corak permainannya, berjaya membuka akaun jaringan musim ini pada minit ke-73 perlawanan hasil daripada lorongan cantik Alex Agyarkwa dan menewaskan penjaga gawang pasukan lawan.
Kemudian pada minit ke-79, Syahir Bashah, nama baru yang tidak asing bagi penyokong Selangor FC musim ini telah menjaringkan gol rembatan dari luar kotak sebaik sahaja beliau masuk menggantikan kapten pasukan, Brendan Gan. Ini merupakan gol pertama beliau dalam saingan Liga Super dan rekod gol kedua bersama pasukan Gergasi Merah.
2. ‘Cleansheet’ pertama Samuel Somerville dalam Liga Super 2022
Samuel atau lebih mesra dengan panggilan Sam telah beraksi dengan baik dalam perlawanan #SFCPEN semalam. Beliau telah menyelamatkan gawang Selangor FC daripada percubaan-percubaan pasukan lawan.
Hasil disiplin yang baik daripada barisan pertahanan serta kecekapan Sam di hadapan pintu gol, ini merupakan ‘cleansheet’ ketiga Sam bersama Selangor FC musim ini, dua daripadanya adalah dalam saingan Piala FA.
3. Aksi cemerlang bahagian pertahanan Selangor FC
Kerjasama serta persefahaman yang baik di antara dua pemain ‘centerback’, Sharul Nazeem dan Yazan Al-Arab, dibantu pula dua pemain muda yang beraksi dengan cemerlang sebagai bek kanan, Quentin Cheng dan bek kiri, Zikri Khalili dalam melengkapkan ‘back four’ yang disiplin dalam membantu mematahkan serangan terutamanya percubaan ‘counter attack’ pasukan lawan.
4. Alex Agyarkwa terus beraksi dengan cemerlang di bahagian tengah
Alex telah memainkan peranan yang sangat baik dalam membantu pasukan dengan mematahkan serangan pasukan lawan serta menyalurkan bola ke hadapan bagi membantu bahagian serangan Gergasi Merah. Hasilnya, beliau berjaya mencatat satu assist dengan lorongan yang sangat baik kepada Shahrel Fikri bagi mendapatkan gol sulung pasukan dalam perlawanan ini.
Selangor FC mengucapkan tahniah kepada pasukan dan berharap agar dapat meneruskan aksi yang cemerlang dalam perlawanan-perlawanan seterusnya. Teruskan perjuangan, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!