SELANGOR FC
BERITA

Suku Akhir Piala FA 2022 : Sabah FC vs Selangor FC | Cabaran Menanti Di Stadium Likas

Jul 23, 2022 - FAS

Selangor FC akan berkunjung ke Stadium Likas bagi  perlawanan peringkat Suku Akhir Piala FA 2022 menentang Sabah FC pada jam 7:30 malam ini.

Menurut Ketua Jurulatih, Michael Feichtenbeiner, mara ke Separuh Akhir adalah sasaran pasukan pada malam in.

“Saya yakin perlawanan pada malam ini akan menjadi sukar dan merupakan peluang yang baik untuk kedua-dua pasukan ke pentas Separuh Akhir Piala FA 2022. 

Pada saya, kita perlukan prestasi terbaik malam ini untuk menang. Sasaran pada malam ini tiada pilihan lain selain menang!

Liga Super dan Piala FA adalah cerita yang berbeza. Malam ini merupakan perlawanan menang atau kalah. Kami mahukan kemenangan ini dan mara Separuh Akhir. Saya yakin pemain-pemain telah bersedia untuk perlawanan malam ini,”

Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Piala FA hari ini, pasukan Selangor FC masih belum berkesempatan menggunakan khidmat R. Dinesh yang berada dalam fasa pemulihan daripada kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) dan Safuwan Baharudin akibat daripada kecederaan ‘mild traumatic brain injury’.

Selain itu, baru-baru ini selepas perlawanan menentang KL City FC, Baha’ Abdelrahman telah mengalami kecederaan di bahagian ‘hamstring’ dan beliau juga tidak dapat bersama pasukan pada malam ini kerana masih dalam fasa pemulihan.

Walau bagaimanapun, para penyokong boleh bersorak gembira dengan kembalinya Yazan Al-Arab daripada pergantungan satu perlawanan minggu lalu dan Aliff Haiqal Lau yang telah pulih sepenuhnya daripada demam.

Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan pada malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!