SELANGOR FC
BERITA

Pengumuman Rasmi: Status Ketua Jurulatih Selangor FC

Aug 09, 2022 - FAS

Selangor FC hari ini mengumumkan bahawa pihak pengurusan tertinggi dan Michael Feichtenbeiner telah mencapai persetujuan bersama untuk beliau melepaskan jawatan Ketua Jurulatih Pasukan Utama yang telah digalas selama setengah musim bagi memberi fokus sepenuhnya kepada projek pembangunan bola sepak Selangor sebagai Pengarah Sukan Selangor FC yang disandang beliau sejak tahun 2020.

Projek pembangunan bola sepak Selangor yang dimulakan Michael Feichtenbeiner sejak tahun 2020 telah melahirkan ramai pemain muda yang mewakili Pasukan Utama Selangor FC dan Pasukan Kebangsaan Malaysia. Sehingga kini seramai 19 pemain muda dari Pasukan Feeder Selangor FC telah diserap ke Pasukan Utama seperti Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem, Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa, Quentin Cheng dan ramai lagi. Pada tahun ini juga, seramai 10 pemain muda Selangor telah dipilih mewakili Skuad B23 Kebangsaan dan seramai 13 pemain muda lagi telah mewakili Skuad B19 Kebangsaan untuk pelbagai kejohanan peringkat ASEAN dan Asia. Selangor FC juga merupakan antara pasukan termuda (mengikut purata umur) dalam saingan Liga Malaysia 2022 dan pihak Kelab percaya bahawa projek pembangunan ini wajar diteruskan demi kesinambungan masa depan Kelab ini.

Pencarian Ketua Jurulatih baharu sedang dijalankan dan pihak Kelab akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja segala penelitian telah dibuat. Tugas tersebut kini digalas oleh Pembantu Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil yang akan mengambil alih tanggungjawab mengemudi pasukan utama Selangor sebagai Ketua Jurulatih sementara (Interim Head Coach)  bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2022.

Demi Kebanggaan.

#MKLK