Aug 14, 2022 - FASPasukan Selangor B19 berjaya mara ke pentas Perlawanan Akhir Piala Belia 2022 setelah menumpaskan PJ City 2-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dalam perlawanan Separuh Akhir Kedua sebentar tadi.
Skuad kendalian Firdaus Tan ini telah menyandang takhta pendahulu Kumpulan B Piala Belia dengan 26 mata terkumpul daripada lapan kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.
Melalui kedudukan ini, Selangor B19 kemudiannya telah melayakkan diri ke peringkat seterusnya apabila bertemu Pasukan AMD B16 di peringkat Suku Akhir Piala Belia. Skuad muda Selangor ini telah menunjuk karakter tersendiri apabila meskipun tewas pada perlawanan Suku Akhir Pertama 1-3, mereka berjaya bangkit pada Suku Akhir Kedua dengan perbezaan jaringan yang besar 7-0. Kemenangan bergaya dengan agregat 8-3 pada bulan Julai yang lalu ini telah menjadi bekal semangat di bawa ke peringkat separuh akhir yang telah menyaksikan mereka menewaskan PJ City B19 dengan agregat 2-0.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor B19, Firdaus Tan, sasaran pemain yang ingin ke pentas perlawanan akhir telah ditunjukkan di padang sebentar tadi.
“Alhamdullilah, Allah berikan rezeki buat kita untuk ke final di atas usaha para pemain. Mereka menunjukkan semangat yang tinggi untuk ke final dengan memberikan seratus peratus dalam padang dan mengikut taktikal serta strategi yang telah dirancang dengan baik. Usaha keras dan kerjasama antara pemain, pegawai dan barisan kejurulatihan telah membantu pasukan untuk sampai ke tahap ini,” kata Firdaus Tan.
Pasukan Selangor B19 akan berdepan dengan pasukan Sri Pahang B19 dalam Perlawanan Akhir Piala Belia 2022 secara timbal balik pada 19 dan 26 Ogos ini.
Sebelum menamatkan perbualan, Firdaus Tan sempat menambah, “Saya berharap penyokong Selangor dapat hadir ke Perlawanan Akhir Piala Belia 2022 untuk menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain muda kita,” harapannya.
Selangor FC mengucapkan tahniah kepada pasukan Selangor B19 di atas pencapaian yang perlu dibanggakan ini dengan mara ke pentas Perlawanan Akhir Piala Belia untuk musim ini. Semoga kejayaan milik kita. Ayuh, Young Giants!
Demi Kebanggaan!