SELANGOR FC
BERITA

Nidzam Jamil Harap Semua Pihak Akan Bersatu

Aug 16, 2022 - FAS

Nidzam Jamil telah diumumkan sebagai Pemangku Ketua Jurulatih Pasukan Utama Selangor FC bagi meneruskan perlawanan Liga Malaysia musim ini pada 9 Ogos yang lalu mengisi kekosongan selepas Michael Feichtenbeiner melepaskan jawatan tersebut.
 
“Sebaik sahaja saya dimaklumkan Kelab memilih saya untuk menyambung tugas Ketua Jurulatih pasukan, pada masa itu secara jujurnya, saya rasa ianya suatu cabaran yang besar. Walaubagaimanapun, saya berlapang dada menerima tanggungjawab ini,” kata Nidzam Jamil.

Menurut Nidzam Jamil, beliau berharap dengan cabaran ini, semua pihak dapat bersama-sama berada dalam satu kapal besar untuk mencapai kejayaan.
 
“Ini merupakan satu keadaan yang baru untuk saya kerana ini kali pertama saya mengambil alih pasukan di pertengahan musim. Tanggungjawab ini sangat penting untuk Kelab dan penyokong, bukan untuk saya. Saya bukanlah sesiapa pun, cuma membesar di sini, menjadi pelatih akademi, pernah bermain untuk pasukan ini dan menjadi ball picker di perlawanan akhir pasukan Selangor suatu ketika dahulu. Jadinya, berada di tempat ini adalah peluang untuk saya berikan khidmat terbaik untuk pasukan.”

"Tak banyak perubahan yang saya lakukan tetapi sudah semestinya ada beberapa penambahan yang berlaku. Saya percaya pemain telah berikan seratus peratus dalam setiap latihan dari hari pertama saya di sini cuma keputusan tidak menyebelahi kita. Oleh itu, tugas kita sekarang adalah untuk mendekatkan diri dengan keputusan yang lebih baik daripada sebelum ini," katanya

Dalam masa yang sama, Nidzam juga sempat berasa sokongan para penyokong sangat berharga dan berharap mereka dapat bersama-sama mendukung pasukan untuk meneruskan perjuangan baru ini.

"Bagi saya, selagi penyokong memberi reaksi kepada pasukan, ini merupakan satu situasi yang baik kerana tanpa mereka siapalah kita. Saya sangat berharap agar sekarang ini pihak pengurusan, pemain, pegawai dan para penyokong bersatu berada di dalam satu kapal besar untuk bersama-sama membantu pasukan untuk berada di tahap yang baik daripada sekarang," harapanya.

Esok, 17 Ogos 2022, perlawanan Liga Super minggu ke-17 menentang Terengganu FC bakal menjadi aksi pertama Nidzam Jamil bertugas sebagai Pemangku Ketua Jurulatih Selangor FC. Sebarang maklumat lanjut berkenaan perlawanan tersebut akan dimaklumkan di laman sosial media Selangor FC. Dapatkan tiket #SFCTFC di sini
   
Selangor FC memberikan sepenuh kepercayaan kepada Nidzam Jamil untuk mengendalikan pasukan utama Selangor sehingga tamat musim ini.
 
Selamat berjaya, Coach Nidzam!

Demi Kebanggaan!