Aug 27, 2022 - FASJuara Piala Belia 2022 sah menjadi milik Pasukan Selangor B19 setelah menewaskan Sri Pahang FC dengan agregat 2-1 di Stadium MP Temerloh semalam.
Pasukan muda Selangor ini berjaya mengesahkan kejuaraan dengan jaringan daripada sepakan percuma Amirul Haziq pada minit ke-67 perlawanan biarpun Sri Pahang dapat menjaringkan gol pertama mereka selepas gol tersebut.
Secara keseluruhan rekod Selangor B19 dalam saingan Piala Belia 2022, pasukan ini telah memenangi 12 perlawanan, empat seri dan dua kekalahan daripada 18 perlawanan dengan 21 jaringan gol keseluruhan. Selain itu, Khairil Zain, pemain jersi nombor 11, antara pemain tunjang pasukan ini telah menjaringkan 12 jaringan gol sekali gus menjadikan beliau penjaring terbanyak untuk musim ini.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor B19, Firdaus Tan, semangat juang antara satu sama lain yang dipamerkan menjadi antara faktor anak buahnya berjaya menjulang kejuaraan Piala Belia 2022.
“Pertama sekali syukur ke hadrat Illahi kerana memberi anugerah kepada kami untuk menjuari Piala Belia 2022. Alhamdulillah kemenangan yang selayaknya untuk pemain-pemain saya kerena mereka telah beraksi dengan cemerlang dalam keseluruhan saingan ini.”
“Seperti yang kita tahu, taktikal merupakan antara perkara yang penting dalam bola sepak tetapi semangat juang bersama melepasi segalanya. Secara jujurnya kami bagaikan sebuah keluarga yang besar bukan sekadar sebuah pasukan. Di padang kita boleh lihat pemain bermain mati-matian untuk sesama sendiri macam sebuah keluarga. Ini menjadi kekuatan kami.”
Pada saya dari awal saingan ini bermula sehingga ke saat ini, saya sangat berpuas hati dengan komitmen yang pemain-pemain ini berikan. Hasil kerja keras mereka membuatkan kami menjuarai Piala Belia musim ini,” kata Firdaus Tan semasa di temubual selepas Perlawanan Piala Belia 2022 tamat.
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Kedua Piala Belia 2022, Amirul Haziq gembira dapat menjaringkan gol yang membawa kemenangan kepada pasukannya.
“Saya gembira tak terkata dapat menjaringkan gol tersebut. Secara jujurnya saya tak sangka tetapi rezeki saya bola masuk.”
Rakan sepasukan saya juga telah berikan seratus peratus tenaga dalam padang. Jaga gol, lari sampai mati dan main bermati-matian. Alhamdullilah kami juara tahun ini.
Saya mahu ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, pegawai, barisan jurulatih dan keluarga saya yang sentiasa menyokong saya dari awal musim,” kata Amirul Haziq.
Selangor FC mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Selangor B19 atas kejayaaan menjuarai Piala Belia 2022. Semoga pemain-pemain muda ini dapat terus mengorak langkah keperingkat seterusnya dalam karier bola sepak mereka. Semoga berjaya!
Demi Kebanggaan.