SELANGOR FC
BERITA

Liga Wanita Nasional | Selangor FC Muncul Naib Juara!

Aug 28, 2022 - FAS

Pasukan Wanita Selangor FC berjaya menempa nama sebagai Naib Juara Liga Wanita Nasional (LWN) Zon Tengah 2022 sekaligus layak ke Piala Tun Sharifah Rodziah selepas menewaskan KLFA 5-0 di JSA Arena, Setia Alam semalam.

Untuk pengetahuan, pasukan Wanita Selangor FC mengumpul 25 mata daripada 8 kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. Selain itu, mereka berjaya merekod 49 jaringan gol serta tujuh perlawanan tanpa bolos sepanjang LWN Zon Tengah 2022 dijalankan.

Menurut penjaring terbanyak pasukan, Intan Serah, pasukan telah berikan yang terbaik dan beliau berharap komuniti dapat menerima wanita bermain bola sepak.

“Ini merupakan pengalaman yang baik untuk saya, seperti yang ramai tahu saya asalnya pemain futsal tetapi tak sangka dapat membawa pasukan ke peringkat seterusnya di Piala Tun Sharifah Rodziah. 

“Saya rasa kami telah berikan yang terbaik walaupun bukan rezeki kami untuk jadi juara yang penting semua dah main bermati-matian untuk berjaya bersama. 

“Saya berharap komuniti dapat terbuka lagi dalam menerima wanita bermain bola sepak, spread kindness and good vibes for us,” kata Intan Serah.

Pasukan Wanita Selangor FC akan beraksi dalam saingan Piala Tun Sharifah Rodziah pada awal bulan September nanti. Sebarang makluman lanjut akan dimaklumkan kelak. 

Selangor FC berbangga dengan pencapaian pasukan Wanita Gergasi Merah menjadi Naib Juara LWN Zon Tengah 2022. Semoga pasukan dapat membuat persediaan rapi untuk peringkat seterusnya. Semoga berjaya, Red Giants!

Demi Kebanggaan.