Aug 30, 2022 - FASTITAH DYTM RAJA MUDA SELANGOR
Beta sentiasa mendengar dan mengambil maklum situasi semasa berkaitan Kelab ini. Ingin Beta tegaskan bahawa Beta amat kesal dengan beberapa insiden yang Beta lihat mutakhir ini.
Ramai yang membuat tanggapan serta dakwaan tidak tepat berkenaan penglibatan Beta dalam pengurusan Selangor FC. Beta ingin tegaskan bahawa tidak semestinya setiap gerak kerja Beta di Kelab ini perlu dipertontonkan dan dipamerkan di laman sosial. Untuk pengetahuan semua, setiap keputusan teknikal dan pengurusan Kelab yang penting adalah berteraskan hala tuju yang telah Beta tetapkan dan berasaskan pekenan dari Beta sendiri. Keputusan-keputusan ini dibuat berdasarkan pemerhatian Beta dan juga melalui siri perbincangan terperinci bersama Pengarah Sukan, Ahli Lembaga Pengarah dan jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan.
Beta sedar prestasi pasukan baru-baru ini tidak menyebelahi kita, namun ingin Beta beri jaminan bahawa Beta dan pihak pengurusan telah mengenal pasti kekurangan pasukan yang perlu diperbaiki secara terperinci. Beta bersama pihak pengurusan sudah mula menangani isu-isu tersebut dan telah memulakan gerak kerja untuk musim hadapan yang akan disusuli dengan beberapa pelantikan teknikal yang baharu termasuk Pengarah Sukan, Pengarah Teknikal, bahagian kejurulatihan, serta langkah-langkah lain yang perlu diambil untuk memperkuatkan pasukan utama Selangor. Proses ini sudah mula berjalan dan beberapa pengumuman penting akan diadakan dari masa ke semasa.
Beta mengakui bahawa kita masih belum mencapai kejayaan di atas padang, namun Beta tidak akan berputus asa dan tetap komited untuk membawa Kelab ini ke peringkat yang tertinggi. Pelbagai pembaharuan dan pencapaian dalam aspek pentadbiran, pengurusan kewangan, pembangunan bola sepak, fasiliti dan pengkomersialan telah Beta jayakan. Oleh itu, Beta ingin menyeru semua penyokong Selangor untuk terus bersatu dan tidak mudah berpaling daripada kebersamaan kerana pengaruh unsur-unsur luar yang tidak berasas dan ingin memecahbelahkan kita. Beta juga ingin tekankan dan memberi jaminan bahawa tidak pernah ada parasit di dalam pengurusan Beta. Ini sebenarnya adalah saat kita memerlukan sokongan yang positif, membina dan tidak berbelah bahagi daripada semua agar kita dapat bersama membantu pasukan kesayangan ini bangkit semula. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk, kerana kita adalah satu.
Akhir sekali, Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk turut mengucapkan jutaan terima kasih buat Izhar Moslim di atas segala sumbangan dan pengorbanan beliau sepanjang berada di Kelab ini. Untuk makluman semua, Izhar Moslim telah menyandang jawatan Naib Presiden FAS dari tahun 2018 hingga 2019 dan Beta melantiknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah semasa Selangor FC diswastakan dan ditubuhkan pada tahun 2020. Baru-baru ini, Beta telah memberi perkenan surat perletakan jawatan beliau yang bertarikh 7 Julai 2022, maka beliau tidak lagi terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pengurusan Selangor FC.
Merah Kuning Lambang Kebanggaan.