The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Kepulangan Yang Dinanti Brendan Gan

Sep 20, 2022 - FAS

Selepas pulih daripada kanser dan genap 453 hari selepas membuat penampilan terakhir bersama skuad Kebangsaan, nama yang tidak asing lagi, Brendan Gan dipanggil kembali ke skuad utama Harimau Malaya menjelang kejohanan King's Cup yang bakal berlangsung di Chiang Mai, Thailand minggu ini.

Berdasarkan rekod, Ketua Pasukan Selangor ini membuat penampilan terakhir bersama Harimau Malaya ketika membenam Thailand 1-0 pada Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 yang berlangsung di Dubai, Jun 2021 lalu sebelum beliau disahkan menghidap  kanser testis.

Selepas 12 bulan bertarung dan menjalani proses pemulihan, Brendan Gan kembali mengetuai skuad Gergasi Merah pada 19 Jun 2022 ketika perlawanan Liga Super (LS6) menentang Sarawak United di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. 'Comeback' yang dinanti-nantikan itu menjadi lebih manis apabila beliau sendiri menjaringkan gol pembukaan sekaligus memulakan malam gemilang buat Gergasi Merah yang memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 7-0.

Bagai burung Phoenix bangkit dari abu, pemain berusia 34 tahun itu terus mendapat tempat dalam kesebelasan utama Selangor dan telah beraksi sebanyak 14 perlawanan berturut sehingga hari ini di mana beliau telah berjaya menjaringkan tiga gol dan mencetak satu jaringan dalam saingan Liga Super dan Piala FA musim ini.

Prestasi cemerlang dan konsisten ini telah menambat hati Ketua Jurulatih negara, Kim Pan-Gon untuk menyenaraikan kembali beliau di dalam skuad 25 pemain yang bakal memulakan kejohanan menentang pasukan tuan rumah, Thailand pada 22 September akan datang. Pemenang dari perlawanan ini akan dijadualkan menentang pemenang dari perlawanan yang melibatkan pasukan Trinidad & Tobago dan Tajikistan pada 25 September 2022. Pasukan yang tewas akan bermain di perlawanan tempat ke-3 dan ke-4 pada hari yang sama.

Sempat ditemuramah, pemain yang membuat ‘debut’ bersama Malaysia pada tahun 2016 ini sempat berkongsi kegembiraan beliau dengan berkata adalah satu penghormatan untuk dirinya diberi peluang menyarung kembali jersi pasukan kebangsaan selepas mengharungi banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi pada tahun lalu.

“Ini adalah satu penghormatan besar bagi saya untuk kembali ke dalam pasukan kebangsaan selepas melalui banyak cabaran sebelum ini. Jadi, ia sangat mengujakan saya untuk kembali dan melakukan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan. Mudah-mudahan, kami akan bermain dengan baik dalam King's Cup di Thailand", ujar beliau.

Berdasarkan kedudukan ranking FIFA semasa, Malaysia kini berada di kedudukan ke-148, manakala Thailand di kedudukan ke-111, Trinidad & Tobago di kedudukan ke-101 dan Tajikistan berada di kedudukan ke-105 dunia. Mengikut sejarah penganjuran kejohanan King’s Cup sebelum ini, Malaysia pernah menjulang piala ini sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Turut mendapat panggilan, dua lagi rakan sepasukan dari Gergasi Merah iaitu Sharul Nazeem dan Mukhairi Ajmal.

Tahniah buat para pemain yang terpilih dan selamat maju jaya kami ucapkan. Demi Kebanggaan!