SELANGOR FC
BERITA

Pengumuman Rasmi: Dennis Bekking Dilantik Pengarah Teknikal Baharu Selangor FC

Sep 29, 2022 - FAS

DENNIS BEKKING DILANTIK SEBAGAI PENGARAH TEKNIKAL BAHARU SELANGOR FC

Selangor FC telah melantik Dennis Bekking sebagai Pengarah Teknikal baharu dalam persiapan Kelab menjelang musim hadapan. Pelantikannya dianggap sebagai strategi utama dan selaras dengan aspirasi Kelab dalam terus membina asas yang kukuh untuk masa hadapan.

Selepas menjadi pemain di Go Ahead Eagles, beliau menamatkan pengajian dalam pendidikan bola sepak di Akademi KNVB dan telah memperoleh beberapa kelayakan seperti Pengajar Jurulatih KNVB, UEFA A, dan Pengarah Akademi Pro sebelum melanjutkan pelajaran beliau ke peringkat Sarjana dalam bidang Pengarah Sukan di Universiti Salford, Manchester UK, yang memberi fokus dalam Pengurusan Organisasi Berprestasi Tinggi serta Inovasi & Perubahan.

Bekking telah menyandang beberapa jawatan sepanjang kerjaya kejurulatihan profesionalnya sebelum ini. Bermula di PEC Zwolle, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Jurulatih untuk beberapa peringkat umur sebelum menjadi Ketua Pembangunan Belia dan Ketua Pencarian Bakat. Selepas bersama PEC Zwolle, beliau menyertai FC Twente untuk juga melatih beberapa pasukan peringkat umur yang berbeza sebelum dilantik sebagai Pengarah Akademi kelab tersebut. Selepas berbakti selama tujuh sehingga lapan tahun di PEC Zwolle dan FC Twente, beliau kemudiannya dilantik menjadi Pengarah Sukan di Go Ahead Eagles dan bertanggungjawab ke atas keseluruhan persediaan teknikal kelab dari pasukan utama sehingga ke akademi. Pada 2019, beliau menyertai Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Malaysia sebagai Pengarah Akademi.

“Pengalaman luas beliau di Belanda sebagai Pengarah Sukan dan Pengarah Teknikal serta pemahaman yang baik tentang bola sepak Malaysia sejak beliau menjadi Pengarah AMD akan membantu beliau memperkenalkan dan mengintegrasikan kaedah bola sepak moden kepada jurulatih kami dan seterusnya membangunkan sistem pembangunan bakat di Selangor FC. Semangat, komitmen dan personaliti beliau pasti akan membawa perubahan positif dalam mewujudkan budaya dan persekitaran berprestasi tinggi di kalangan pasukan pembangunan Selangor FC”, kata Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC.

Bekas Pengarah Akademi FC Twente ini akan bertanggungjawab ke atas hal-hal teknikal yang melibatkan pasukan pembangunan termasuk Selangor B23, Selangor B20, Selangor B18, dan pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri Selangor. Selain itu, beliau juga akan bertanggungjawab untuk membangunkan falsafah bola sepak Kelab, mengukuhkan jabatan sains sukan, menyelia pendidikan jurulatih serta memberi tumpuan kepada pengambilan dan pembangunan bakat muda.

Bekking yang teruja untuk memulakan peranan baharunya di Selangor FC berkata, "Selangor FC telah berjaya mengenal pasti dan merekrut ramai bakat muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ianya tidak berhenti di sini. Dengan kemasukan prospek masa depan yang muda ini ianya telah menjadi satu keperluan untuk kita menyediakan laluan pembangunan belia yang betul bermula dari B18 hingga ke pasukan utama. Saya bersedia untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme buat pemain muda ini bersama-sama jurulatih dan kakitangan di Selangor FC".

Selangor FC ingin mengalu-alukan dan mengucapkan selamat maju jaya buat Dennis Bekking dan percaya beliau akan terus memperkukuh dan memartabatkan projek pembangunan bola sepak Kelab. Beliau akan memulakan tugasnya secara rasmi di Kelab bermula pada 1 Januari 2023.

Demi Kebanggaan!