Oct 12, 2022 - FASTiga mata berjaya dibawa pulang pasukan setelah menewaskan Sarawak United 1-0 di Stadium Negeri semalam.
Ini merupakan perlawanan serta kemenangan ketiga pasukan di bawah kendalian Ketua Jurulatih baharu Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe yang diberi laluan awal untuk menilai pemain bagi membuat persiapan pada musim hadapan.
Berdasarkan perlawanan semalam, beberapa perkara penting yang dapat dicatatkan, seperti:-
1. Peledak gol tunggal muncul sebagai #MOTM perlawanan
Hein Htet Aung, pemain muda Selangor FC terus mengekalkan aksi cemerlang beliau dalam melakukan serangan apabila pada minit ke-71 perlawanan, beliau berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan sekaligus memberikan kemenangan kelapan kepada pasukan Gergasi Merah dalam saingan Liga Super 2022.
2. Rekod cleansheet buat Samuel Somerville
Sam telah menyelamatkan gawang pasukan dengan cemerlang dalam perlawanan semalam. Untuk rekod, ini merupakan ‘cleansheet’ ketujuh beliau bersama pasukan Selangor FC musim ini.
‘Cleansheet’ ini juga tidak akan berlaku tanpa barisan pertahanan Selangor FC yang dilihat semakin bertambah baik selepas perlawanan demi perlawanan.
3. Pemain gantian yang memberi impak kepada pasukan
Danial Asri sekali lagi membuktikan kebolehan beliau terutama sekali dalam membuat ‘pressing’ serta menggoyahkan barisan pertahanan pihak lawan semasa menyerang. Kemasukan beliau telah memberi impak yang tinggi dalam menajamkan barisan serangan pasukan semalam.
Selain itu, Alex Agyarkwa juga dilihat memberi impak selepas dibawa masuk pada separuh masa kedua dan berjaya mendapatkan ‘assist’ untuk gol kemenangan perlawanan.
4. Lonjak kedudukan di tangga kelima
Pasukan kini berjaya melonjak ke tangga kelima saingan Liga Super 2022 selepas mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut. Para pemain dilihat berjaya menyesuaikan diri dengan falsafah yang dibawah oleh pengendali baharu Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe. Kefahaman ini telah membantu pasukan meraih kemenangan tanpa bolos tiga kali berturut-turut.
Selain itu, kedudukan kelima ini sedikit sebanyak telah memberi bayangan pasukan berkemungkinan besar akan menentang Kelantan United FC dalam saingan TM Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.
Secara keseluruhan, pujian harus diberikan kepada semua pemain yang telah berjuang dalam perlawanan semalam.
Selangor FC mengucapkan tahniah kepada pasukan. Semoga pasukan dapat mengakhirkan saingan Liga Super 2022 dengan cemerlang untuk perlawanan terakhir menentang Penang FC pada hari Sabtu ini.
Demi Kebanggaan.