SELANGOR FC
BERITA

Cabaran Gergasi Merah di TM Piala Malaysia 2022 Bakal Bermula

Oct 23, 2022 - FAS

Cabaran Gergasi Merah di #TM Piala Malaysia 2022 Bakal Bermula

Berbaki tiga hari lagi, Selangor FC bakal memulakan perjalanan dalam merebut kejuaraan TM Piala Malaysia 2022 dengan menentang Kelantan United di Kota Bharu, Rabu ini.

Sama seperti edisi sebelum ini, sebanyak 16 pasukan akan bertanding merebut trofi terulung ini namun format pertandingan yang digunapakai pada edisi tahun ini sedikit berbeza di mana pihak Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa tiada format peringkat kumpulan. Kesemua pasukan akan bermain secara timbal balik pada perlawanan 16 pasukan terbaik, disusuli perlawanan Suku Akhir (timbal balik) dan perlawanan Separuh Akhir (timbal balik) di mana perlawanan Akhir bakal berlangsung di venue neutral pada hujung November 2022.

Menamatkan saingan Liga Super dikedudukan ke-5, Selangor telah diundi untuk menentang Kelantan United, pasukan yang menamatkan Liga Premier juga ditangga ke-5 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu 26 Oktober ini sebelum kedua-dua pasukan bakal beraksi untuk aksi timbal balik di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 1 November 2022.

Bakal memulakan perlawanan di tempat lawan, bukanlah sesuatu tugas yang mudah untuk Gergasi Merah kerana rata-rata pasukan yang bertanding sudah pasti mahu merebut kejuaraan kerana pasukan yang bergelar juara TM Piala Malaysia 2022 bakal mendapat slot ke kejuaraan Piala AFC 2023 musim hadapan.

Sekiranya berjaya melayakkan diri ke pusingan Suku Akhir, Selangor bakal bertemu dengan pemenang dari perlawanan di antara Kedah Darul Aman dan Negeri Sembilan yang akan bersaing di perlawanan pusingan 16 yang lain.

Berdasarkan catatan sejarah, Piala Malaysia merupakan piala tertua dan terulung di mana kali pertaman dipertandingkan adalah pada tahun 1921. Sejarah Piala Malaysia bermula apabila Piala HMS Malaya diperkenalkan sempena nama sebuah kapal perang. Pada tahun 1967, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menggantikan Piala HMS kepada piala baru, iaitu Piala Malaysia.

Selangor telah berjaya menjulang Piala Malaysia sebanyak 33 kali di mana kali terakhir skuad Gergasi Merah menjulangnya adalah pada tahun 2015. Pada edisi lalu, Selangor tewas kepada juara bertahan, Kuala Lumpur City FC pada pusingan Suku Akhir.

Selamat maju jaya buat Selangor FC untuk edisi kali ini! Demi kebanggaan!

Tekan pautan ini untuk mengetahui laluan Gergasi Merah di TM Piala Malaysia 2022.