Oct 27, 2022 - FASLangkah Kanan Buat Gergasi Merah di TM Piala Malaysia 2022
Selangor FC memulakan kempen TM Piala Malaysia 2022 dengan langkah kanan selepas berjaya menundukkan Kelantan United FC 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi hasil dua jaringan daripada Herlison Caion.
Bertemu buat pertama kali, kedua-dua pasukan bermula garang dengan beberapa kali mengasak kubu pertahan lawan masing-masing.
Meskipun beraksi di Liga Premier, pasukan tuan rumah beberapa kali berjaya melepaskan percubaan tepat ke arah gawang Gergasi Merah namun penjaga gol, Khairulazhan Mohd Khalid berjaya mengekang asakan tersebut.
Pada minit ke-37, Hein Htet Aung bijak mencari Fazly Mazlan di sayap kiri sebelum pemain itu berjaya membuat satu umpanan cantik sebelum ditanduk masuk oleh Caion untuk meletakkan Selangor di hadapan.
Pada babak kedua, pemain gantian yang juga membuat penampilan pertama bersama pasukan utama, Kelvin Kyei bijak melepaskan diri dari kawalan pertahanan kiri Kelantan United selepas mendapat hantaran cantik dari Mukhairi Ajmal sebelum berjaya membuat hantaran lintang untuk Caion menggandakan jaringan beliau sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Selangor dengan 2-0 pada minit ke-63.
Terus mengasak, Gergasi Merah terpaksa akur apabila tiga percubaan dari pemain berbeza, Aliff Haiqal, Brendan Gan dan Danial Asri terkena tiang gol. Selangor dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-82 selepas seorang lagi pemain gantian, Shahrel Fikri dijatuhkan namun sepakan pemain berusia 28 tahun itu berjaya ditepis oleh penjaga gol Kelantan United, Fikri Che Soh.
Beraksi dalam keadaan hujan, kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat. Sempat ditemubual, Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe jelas gembira dengan keputusan namun mengingatkan anak buahnya untuk terus fokus serta memperbaiki kesilapan.
“Saya berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan namun perjalanan masih panjang dan masih terdapat kesilapan yang perlu diperbaiki dan dikemaskan”, ujar beliau.
Berikut adalah antara fakta menarik yang dapat dicatatkan dari perlawanan malam tadi:
- Gol ke-20 Herlison Caion
Dengan menambah lagi dua jaringan malam tadi, Caion telah mencatatkan 20 gol dalam semua kejohanan musim ini.
- Dua ‘assists’ pertama buat dua pemain
Pemain pertahanan kiri, Fazly Mazlan mencetak sumbangan gol pertama beliau bersama Selangor begitu juga dengan ‘debutant’ Kelvin Kyei yang turut mencipta nama selaku penyumbang kepada gol kedua Caion.
- 12 pemain muda daripada senarai 20 pemain
Seramai 12 pemain muda dibawa oleh Tan Cheng Hoe daripada jumlah 20 pemain di mana enam daripada mereka turun sebagai kesebelasan utama dan enam lagi dibangku simpanan.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi untuk aksi timbal balik kedua di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 1 November ini.
Demi Kebanggaan!