Nov 24, 2022 - FASSelangor Mara Ke Final TM Piala Malaysia, Bakal Bertemu JDT
Skuad Gergasi Merah menempah tiket ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 selepas berjaya menundukkan pencabar Terengganu FC 3-2 secara aggregat meskipun tewas 1-0 pada perlawanan Separuh Akhir kedua, malam Isnin lalu.
Walaupun berbekalkan dua jaringan, bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak bukanlah satu tugas yang mudah buat Gergasi Merah apabila skuad Sang Penyu jelas menguasai perlawanan dari segi percubaan dengan melancarkan serangan awal menerusi ketua pasukan, Tchetche Kipre namun usaha beliau cuma melewati palang gol Selangor.
Beraksi dihadapan 30,000 penyokong sendiri, anak buah Nafuzi Zain terus menekan kubu pertahanan Selangor dan usaha itu membuahkan hasil apabila larian pantas Faisal Halim pada minit ke-36 berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Selangor sebelum Kipre berjaya menampan masuk bola tersebut untuk mengurangkan defisit jaringan kepada satu gol.
Selangor yang jarang-jarang menyerang hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi Brendan Gan namun pertahanan Terengganu, Pape Diakite berjaya mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya pada minit ke-73.
Semakin terdesak, Terengganu terus mengasak untuk mencari jaringan tambahan dan malang tidak berbau buat pertahanan import Selangor yang berasal dari Jordan, Yazan Al Arab apabila beliau dilayangkan kad kuning kedua sekaligus menerima kad merah selepas didapati menarik Tchetche Kipre pada minit ke-87.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, kubu pertahanan Selangor terus kental menyerap segala asakan untuk mempertahankan kedudukan 1-0 sehingga tamat wisel penamat sekaligus mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir menerusi aggregat 3-2 dan bakal bertemu ‘finalist’ musim lalu iaitu Johor Darul Ta’zim.
Sempat ditemubual, Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe jelas bangga dengan pencapaian anak buahnya dan menyifatkan perlawanan akhir menentang JDT bukanlah sesuatu yang mudah.
“Saya berbangga dengan persembahan semua pemain dari pusingan pertama sampai ke malam ini. Mereka cukup berdisiplin dalam bertahan walaupun diserang berkali-kali. Menentang JDT di Final bukanlah tugas mudah untuk kami namun kami akan memberikan segalanya untuk membawa pulang trofi berprestij ini ke bumi Selangor”, kata beliau.
Selangor bakal bertemu Johor Darul Ta’zim di Stadium Nasional Bukit Jali, 26 November ini dan ini bakal menjadi penampilan ke-50 Gergasi Merah di pentas akhir Piala Malaysia berdasarkan rekod.
Demi Kebanggaan!