SELANGOR FC
BERITA

Ruventhiran Secara Rasmi Menyertai Selangor FC

Dec 18, 2022 - FAS

Ruventhiran atau lebih mesra dengan panggilan Ruven hari ini secara rasmi diumumkan sebagai pemain tempatan baharu Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2023.

Anak kelahiran Klang, Selangor ini merupakan pemain pembangunan Gergasi Merah sebelum karier profesionalnya dalam kancah bola sepak Malaysia. Ruven pernah beraksi bersama pasukan Belia Selangor pada tahun 2019 dengan rekod satu jaringan gol dan empat bantuan gol. Beliau kemudian dinaikkan ke Pasukan Piala Presiden Selangor pada tahun seterusnya, namun hanya sempat bermain dalam empat perlawanan sahaja dengan satu jaringan gol sebelum Kejohanan Piala Presiden 2020 dibatalkan dek virus Covid-19 melanda dunia ketika itu.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang berusaha kuat, Ruven kemudian berjaya menembusi saingan Liga Super dan memulakan karier profesionalnya dua tahun yang lalu bersama pasukan utama PJ City FC dengan 41 penampilan dan merekod dua jaringan gol serta tiga ‘assists’ sepanjang bersama kelab tersebut.

Musim 2022 terus menjadi tahun terbaik pemain berkaki kidal ini, apabila dipanggil menyertai Kejohanan AFF bawah 23 tahun di Cambodia dan baru-baru ini berjaya tersenarai sebagai salah seorang pemain dalam senarai akhir pasukan utama Harimau Malaya untuk saingan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 setelah menampilkan aksi cemerlang musim lepas termasuk dalam dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung dua minggu yang lalu.

Bagaikan sirih pulang ke gagang, menjadi peribahasa yang tepat dengan kepulangan pemain muda yang lahir pada 24 Ogos 2001 ini kerana hasrat untuk beraksi bersama pasukan utama negeri kelahirannya menjadi kenyataan pada tahun 2023.

"Saya pernah beraksi bersama Pasukan Presiden dan Belia Selangor sebelum ini, jadi kembali ke Selangor FC bagi saya bukanlah satu perkara baharu tetapi saya gembira dapat menyarung jersi pasukan ini semula.

Saya memang menyimpan hasrat untuk bermain bersama Pasukan Utama Selangor FC kerana saya yakin Selangor merupakan pasukan yang besar dan mempunyai penyokong yang luar biasa. Saya sudah bersedia untuk beraksi dan berikan segalanya untuk pasukan," ujar Ruven semasa temu bual bersama Media Selangor FC.

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Ruventhiran. Semoga beliau dapat mengukuhkan jentera pertahanan serta barisan sayap pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2023.

Semoga berjaya Ruven!

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim hadapan.

Demi Kebanggaan!