SELANGOR FC
BERITA

Khuzaimi Piee Secara Rasmi Menyertai Selangor FC

Dec 20, 2022 - FAS

Khuzaimi Piee atau lebih dikenali dengan panggilan Jimmy, hari ini secara rasmi diumumkan sebagai pemain tempatan baharu Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2023.

Beliau yang merupakan bukan lagi nama baru dan kini sering menjadi sebutan dalam kancah bola sepak Malaysia, Khuzaimi sebenarnya telah memulakan karier profesionalnya sejak dari tahun 2015 bersama pasukan PKNS FC, dalam saingan Liga Premier selama satu musim sebelum dipinjamkan ke pasukan Syarikat Air Melaka Berhad FC pada tahun seterusnya. Beliau kemudian dipanggil oleh pasukan negeri kelahirannya, Melaka, di jendela perpindahan kedua dan terus menjadi antara kemasukan baharu yang membantu Melaka menjulang piala kejohanan Liga Premier 2016.

Karier beliau sepanjang tahun 2017 sehingga 2019 membantunya untuk menjadi seorang pemain yang diharapkan oleh pasukan UiTM FC bagi mengukuhkan pasukan tersebut dalam tahun pertama mereka beraksi di saingan Liga Super Malaysia 2020. Dua musim bersama The Lions, Khuzaimi telah menjadi pemain tonggak dengan 20 penampilan membarisi jentera pertahanan pasukan itu.

Kerja kerasnya membuahkan hasil apabila bakat beliau mula menjadi tumpuan ramai pada tahun 2022. Dengan aksi cemerlangnya bersama pasukan Negeri Sembilan FC, ia membantu beliau mendapat panggilan Harimau Malaya untuk kali kedua dalam kariernya. Beliau juga baru-baru ini berjaya menyenaraikan nama dalam senarai akhir Harimau Malaya untuk saingan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang akan memulakan perlawanan pertama pada 21 Disember ini.

Seorang pemain yang berpengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia dan sangat berdedikasi tinggi, beliau mahu membantu Selangor FC ke tahap yang diimpikan oleh dirinya dan kelab.

“Semua tahu Selangor FC merupakan satu pasukan yang besar. Jadi, saya menganggap ini satu cabaran yang saya sahut untuk diri dan kerjaya saya.

Selain itu, saya seorang yang selalu mempunyai sasaran yang tinggi untuk diri sendiri. Jadi, secara peribadi, saya berhasrat untuk membawa Selangor ke arah satu tahap yang saya impikan iaitu ke Piala Asia,” Khuzaimi sempat berkongsikan harapannya bersama Media Selangor FC.

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Khuzaimi Piee. Semoga beliau dapat mengukuhkan jentera pertahanan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2023.

Khuzaimi merupakan pemain terbaru kedua yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Ruventhiran baru-baru ini.

Semoga berjaya Jimmy!

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim hadapan.

Demi Kebanggaan!