The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Rumusan Ringkas Selangor FC Musim 2022

Dec 30, 2022 - FAS

Selangor FC menutup tirai bola sepak musim 2022 yang penuh dengan pengalaman suka duka ini. Dengan berakhirnya musim ini, ia adalah masa yang sesuai untuk kita mengimbas kembali pencapaian yang berjaya kita catatkan. 

Skuad Selangor FC telah beraksi dalam tiga pertandingan pada tahun 2022; Liga Super Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia. Kami menamatkan kempen liga ini di tempat kelima dengan jumlah 30 mata daripada 22 perlawanan (8 kemenangan, 6 seri, 8 kekalahan). Dalam Piala FA pula, kami menamatkan peringkat kumpulan sebagai Juara Kumpulan B (9 mata daripada 3 perlawanan), sebelum tersingkir dalam pusingan separuh akhir di tangan Terengganu FC menerusi penentuan sepakan penalti. Manakala dalam Piala Malaysia, pasukan berjaya menewaskan Kelantan United FC dengan agregat 3-0, Negeri Sembilan dalam pusingan Suku Akhir (agregat 4-2) dan Terengganu FC dalam Separuh Akhir (agregat 3-2) sebelum menjadi Naib Juara kejohanan. 

Secara keseluruhannya, pasukan utama bermain dalam 33 perlawanan sepanjang musim, menang dalam 15 perlawanan, seri 7 perlawanan dan kalah dalam 11 perlawanan. Kami juga mencatat 10 ‘clean sheets’; 5 dalam Liga Super, Piala FA 3 perlawanan dan Piala Malaysia 2 perlawanan.

Selain itu, pasukan berjaya menjaringkan 60 gol kompetitif pada 2022 untuk purata 1.8 gol setiap perlawanan, dan bolos 39. Kemenangan berturut-turut terpanjang kami adalah untuk lima perlawanan, manakala rekod kalah terpanjang kami adalah untuk tiga pertemuan.

Antara penjaring yang telah menyumbang 60 gol tersebut adalah penyerang pasukan, Herlison Caion dengan 24 jaringan gol; Norhakim Hassan 6 gol; Hyuri Henrique dan Brendan Gan 5 gol; Yazan Al-Arab, Mukhairi Ajmal dan Aliff Haiqal Lau 3 gol; Hein Htet Aung dan Syahir Bashah 2 gol; dan 1 gol daripada Danial Asri, Shahrel Fikri, Safuwan Baharudin, Richmond Ankrah dan Sharul Nazeem. 

Penyumbang gol mereka adalah 9 daripada Mukhairi Ajmal, 6 Herlison Caion, 5 Hein Htet Aung, 4 Quentin Cheng dan Alexander Agyarkwa, 3 Aliff Haiqal Lau, 2 Hyuri Henrique, Zikri Khalili, Baha’ Abdelrahman dan Norhakim Hassan serta 1 daripada Azrin Afiq, Fazly Mazlan, Danial Asri, Shahrel Fikri, Izwan Yuslan, Kelvin Kyei, Syahir Bashah, Sharul Nazeem dan Brendan Gan.

Musim ini kesemua 30 pemain telah membuat sekurang-kurangnya satu penampilan dan empat daripadanya merupakan penampilan sulung pemain muda pasukan Selangor 2 iaitu Rahman Daud, Izwan Yuslan, Richmond Ankrah dan Kelvin Kyei. Tambahan pula, pemain muda yang telah membuat penampilan bersama pasukan utama sebelum ini menjadi antara pemain tonggak pasukan musim ini, seperti Mukhairi Ajmal (32 perlawanan), Sharul Nazeem (28 perlawanan), Zikri Khalili (26 perlawanan), Aliff Haiqal Lau (23 perlawanan), Danial Asri (17 perlawanan), Harith Haiqal (9 perlawanan) dan Azrin Afiq (3 perlawanan).

Daripada 30 yang bermain untuk skuad Selangor FC musim ini, tiga pemain Norhakim Hassan,  Aliff Haiqal Lau dan Mukhairi Ajmal telah menyarung jersi Selangor untuk perlawanan ke-50 mereka.  

Seterusnya, pencapaian peribadi oleh dua pemain tempatan, Brendan Gan yang berjaya menjaringkan gol pertama beliau untuk musim ini dalam perlawanan pertamanya selepas kembali pulih daripada Kanser dan Aliff Haiqal Lau yang menjaringkan tiga gol senior pertama beliau dalam tiga kejohanan yang berlainan menjadi antara sorotan musim ini.

Selain itu, Mukhairi Ajmal, pemain muda yang cukup menyerlah tahun ini telah diundi menjadi pemenang Gol Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 baru-baru ini. 

Kesimpulannya, beberapa penambahbaikan berjaya diperoleh pasukan biarpun beberapa pertukaran terpaksa dilakukan. Para penyokong boleh mengharapkan lebih banyak perubahan senarai, pelantikan dan kemas kini kelab akan diumumkan dalam minggu-minggu akan datang bagi memperkukuhkan pasukan.

Demi Kebanggaan