SELANGOR FC
BERITA

Wajah Baru Barisan Kejurulatihan Selangor FC

Jan 09, 2023 - FAS

Pra musim Selangor FC sudah pun bermula pada minggu lalu bagi membuat persiapan menghadapi Liga Malaysia 2023.

Musim ini Gergasi Merah akan terus berdiri teguh di bawah kendalian Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe, bersama barisan kejurulatihan dan pegawai yang akan sentiasa bersama membantu pasukan sepanjang mengharungi tiga saingan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia 2023.

Bagi barisan kejurulatihan, Selangor FC terus mengekalkan Nidzam Jamil sebagai Pembantu Ketua Jurulatih dan Arulchelvan Illenggo sebagai Jurulatih Kecergasan di atas bimbingan serta komitmen yang tinggi ditunjukkan oleh mereka musim lalu. 

Selain itu, kelab Gergasi Merah telah menandatangani Pembantu Ketua Jurulatih kedua baharu yang pernah membimbing sebuah pasukan dalam kancah Bolasepak Malaysia dan memiliki pengalaman yang luas di Eropah, Ramón Marcote Pequeño.

Marcote sebelum ini pernah bekerjasama bersama Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, pada tahun 2015 sebagai Jurulatih Kecergasan dan nama beliau sebenarnya amat sinonim di kalangan peminat pasukan Kedah Darul Aman. 

Pemilik lesen kejurulatihan UEFA Pro ini merupakan bekas pengendali skuad pembangunan Atletico Madrid pada tahun 2016/2017. Selain itu, beliau juga pernah membimbing skuad remaja kelab gergasi di Arab Saudi, Al Hilal bawah 15 tahun pada tahun 2021/2022 sebelum ke Ethnikos Achnas di Cyprus sebagai jurulatih.

Nidzam Jamil dan Ramón Marcote akan bekerjasama bagi membantu Tan Cheng Hoe menyusun strategi dalam memperbaiki kelemahan serta memperkukuhkan kekuatan pasukan bagi menghadapi Liga Malaysia 2023.

Dalam masa yang sama, Selangor FC juga telah membawa masuk seorang lagi wajah baharu bagi membarisi barisan kejurulatihan Gergasi Merah, Fouzi Mukhlas, yang menggalas tanggungjawab sebagai Jurulatih Penjaga Gol musim ini.

Di bawah merupakan barisan Kejurulatihan serta Pegawai Selangor FC 2023:
Barisan Kejurulatihan
Ketua Jurulatih: Tan Cheng Hoe
Penolong Ketua Jurulatih: Nidzam Jamil
Penolong Ketua Jurulatih: Ramón Marcote
Jurulatih Penjaga Gol: Fouzi Mukhlas
Jurulatih Kecergasan: Arulchelvan Illenggo 
Penganalisa Pasukan: Zulhazman Zulazwar


Barisan Pegawai
Koordinator Pasukan: Syafiq Fozi
Doktor Pasukan: Dr Muhammad Hazwan Khair
Penolong Jurulatih Kecergasan: Amirol Azmi
Penganalisa: Gugan Ramulu
Jurufisio : Jangar Khan
Pakar Nutrisi: Puteri Nurshuhada
Masseuse: Halimee Yusuf
Masseuse: Fadhli Zahari
Masseuse: Saiful Nizam
Kitman: Azman Ahmad

Selangor FC berbesar hati mengalu-alukan kedatangan Ramón Marcote dan Fouzi Mukhlas ke kem Gergasi Merah. Semoga kedatangan kedua mereka dapat menambah tenaga bagi membantu pasukan ke menara gading bersama-sama barisan kejurulatihan dan pegawai untuk musim 2023.

Demi Kebanggaan!