Jan 10, 2023 - FASSelangor FC & Daikin Malaysia Umum Kolaborasi Strategik Bersama
Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini telah mengumumkan Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd (DMSS) sebagai Rakan Rasmi Platinum terbaru selepas selesai majlis menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak, awal pagi tadi.
Majlis tandatangani dokumen tersebut telah diadakan di ibu pejabat Daikin Malaysia, Petaling Jaya dan disaksikan oleh Pengerusi Selangor FC, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia Sdn Bhd, Shogo Ando dan, Katsuhiko Takahashi, Duta Jepun ke Malaysia. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi Selangor FC, En. Aladdin Mostafa dan En. Lawrence Song, Pengarah Urusan Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd.
Kerjasama ini menyaksikan pihak Daikin Malaysia menyumbangkan sejumlah wang tunai sebagai tajaan kepada pasukan Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2023 yang bakal bermula tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia, Shogo Ando berkata, "Kami di Daikin Malaysia merasa sangat berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah. Kami percaya bahawa sukan bola sepak adalah sukan yang menyatukan semua lapisan masyarakat, tidak mengira bahasa, agama, bangsa dan umur. Kami yakin bahawa kerjasama ini boleh menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan kekal aktif untuk semua melalui sukan. Kami juga berharap hubungan kerjasama ini dapat memberi suntikan semangat yang lebih kepada Gergasi Merah menjelang musim baharu kelak", tambah beliau.
Ketua Pegawai Operasi SFC, Aladdin Mostafa berpendapat kerjasama ini akan memberikan impak positif kepada kedua-dua pihak.
"Kami di Selangor FC sangat teruja dan berbangga dengan pengumuman ini. Sejak penswastaan SFC, kami sentiasa mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa seperti Daikin. Ini membuktikan pasukan kita masih mampu menarik minat syarikat bertaraf dunia untuk mengadakan kerjasama bagi mencapai sasaran dan wawasan mereka. Sebagai rakan strategik terbaru Selangor FC, kami akan mencuba sedaya upaya untuk membalas kepercayaan yang diberikan dan kami akan terus berkongsi kepakaran antara satu sama lain bagi mencapai matlamat kerjasama ini," ujar Aladdin.
Turut menzahirkan rasa gembira, Pengerusi Selangor FC, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempat berkongsi perasaan Baginda sejurus selesai majlis memeterai perjanjian sebentar tadi.
"Beta ingin mengalungkan ucapan jutaan terima kasih buat Daikin atas kesudian untuk kerjasama ini dan berbesar hati untuk mengucapkan selamat datang ke keluarga Gergasi Merah. Beta berharap perjanjian kerjasama ini dapat menarik minat lebih banyak syarikat lain di Malaysia dan di luar negara untuk turut menjadi rakan strategik Selangor FC pada masa hadapan", ujar Baginda.
Ditubuhkan pada 1924 di Jepun dan mula beroperasi di Malaysia sejak tahun 1975, Daikin (dahulu dikenali sebagai OYL) merupakan syarikat penyaman udara nombor satu dunia, inovator terkemuka dan pembekal penyelesaian penyaman udara berkualiti tinggi untuk kediaman, komersial dan pasaran perindustrian di seluruh dunia.
Daikin mempunyai lima buah kilang, satu pusat penyelidikan (R&D), empat syarikat jualan serta 5,000 pekerja di Selangor. Daikin sentiasa memberi jaminan kepada pelanggan dengan mengeluarkan produk berkualiti premium dan menyediakan perkhidmatan profesional selepas penjualan.
Demi Kebanggaan!
#MKLK