The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Persiapan Pra-Musim

Jan 15, 2023 - FAS

Kem Gergasi Merah bakal dimeriahkan dengan kepulangan pemain-pemain Kebangsaan bagi menjalankan sesi latihan pramusim lengkap tidak lama lagi.

Sementara itu, sesi latihan pramusim telah dijalankan secara rasmi pada 5 Januari yang lalu bersama pemain-pemain yang telah diumumkan #stillRED (kekal bersama pasukan) seperti Khairulazhan Khalid, Samuel Somerville, Zahril Zabri, Danial Asri, Syahir Bashah, Harith Haiqal, Zikri Khalili, Syahmi Adib, Izwan Yuslan serta turut disertai sembilan pemain Selangor B23 bagi melengkapkan sesi latihan.

Selain daripada mereka, pemain-pemain import seperti Richmond Ankrah, Hein Htet Aung, Yazan Al-Arab dan Alexander Agyarkwa juga telah menyertai sesi latihan bersama rakan pasukan yang lain sebaik sahaja mereka tiba di Malaysia.

Baru-baru ini juga Selangor FC telah mengumumkan pemain import terbaharu pasukan iaitu Noor Al-Rawabdeh bagi memperkuatkan jentera tengah musim 2023. Beliau juga telah menjalani latihan bersama rakan sepasuka baharunya.

Menurut Tan Cheng Hoe, ketua jurulatih Selangor FC, beliau akan menunggu sehingga pasukan lengkap untuk melaksanakan langkah seterusnya.

“Terlalu awal untuk saya menilai pasukan buat masa sekarang kerana pramusim baru sahaja bermula 5 Januari yang lalu walaupun pemain-pemain saya masih belum lengkap sepenuhnya. 

Kita perlu bersabar sehingga semua pemain pulang pada minggu hadapan untuk saya dan barisan jurulatih membuat penilaian dan juga strategi untuk pasukan bagi mencapai tahap yang terbaik musim ini,” kata Tan Cheng Hoe semasa temubual.

Pemain-pemain Kebangsaan telah diberikan rehat mengikut arahan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, selepas bermain dalam Piala AFF Mitsubishi-Electric, sebelum dijadualkan menyertai sesi latihan pada minggu hadapan.

Selain itu, beberapa perancangan bagi perlawanan persahabatan juga telah dilakukan.

Nantikan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim ini dengan mengikuti media sosial Selangor FC.

Demi Kebanggaan!